IPOH- Kerajaan negeri melalui Tourism Perak terus mempertingkatkan penggunaan pendigitalan menerusi jaringan aplikasi internet dalam usaha memperhebatkan sektor pelancongan negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan Dan Pelancongan Negeri Perak, Dato' Nolee Ashilin Dato’ Mohamed Radzi berkata usahasama Tourplus Sdn. Bhd., mewujudkan aplikasi Perak Pass Plus (PPP) berupaya mempromosikan produk-produk pelancongan serta membantu para pengusaha tempatan.

“Aplikasi PPP berkonsepkan mesra pengguna ini, tidak melibatkan sebarang implikasi kewangan kepada kerajaan negeri, namun ia menjadi joint-venture program yang memfokuskan promosi berganda untuk pelbagai produk pelancongan sedia ada.

“PPP juga, merupakan sistem yang akan menjadi aplikasi pelancongan rasmi bagi negeri Perak. Aplikasi ini boleh dicapai dan digunakan sepenuhnya bermula pada 31 Mei 2022 dan boleh dimuat turun menerusi Apple App Playstore, Google Playstore serta Huawei App Gallery.

“Selain itu, ia memudahkan para pelancong untuk mendapatkan maklumat dan membuat tempahan bagi mana-mana produk pelancongan secara digital. Fungsi PPP sama seperti booking engine seperti Booking.com, Agoda, Lazada”, katanya kepada media selepas melancarkan Aplikasi PPP di Tingkat Valley, Meru sempena Majlis Rumah Terbuka Tourism Perak di sini hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin @ MD Daud; Pengerusi Lembaga Pengarah Tourism Perak, Dato’ Mohamed Kamil Dato’ Shafie dan Ketua Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa.

Menurutnya, para pelancong juga boleh membuat tempahan hotel, tiket-tiket masuk, urutan spa, restoran dan lain-lain dengan mudah hanya melalui penggunaan aplikasi PPP.

“Penggunaan aplikasi ini, diharapkan dapat memudahkan pelancong tempatan dan antarabangsa mendapatkan maklumat mengenai produk pelancongan yang menarik di negeri Perak dan secara tidak langsung meningkatkan hasil jualan produk-produk tempatan.

“Penigkatan serta penambahan servis ini adalah penambahbaikan kepada program Perak Pass yang telah dilancarkan pada tahun lepas . PPP bukan sahaja mempamirkan diskaun sepertimana booking enggine yang lain, tetapi ia juga menyediakan baucer baucer subsidi daripada pihak kerajaan negeri .

“Aplikasi ini juga dapat membantu kami mengumpul data-data dengan lebih tepat berkenaan bilangan kedatangan para pelancong dan juga pilihan destinasi-destinasi menarik yang menjadi tumpuan utama”, ujarnya. -Peraktastic-