Unit Polis Pelancong Kontinjen Perak, tempatkan di lima daerah di Perak
- Details
- Saloma
- Pelancongan
- Hits: 722
IPOH: Polis Perak telah menempatkan Unit Polis Pelancong di 20 lokasi tumpuan pelancong di negeri ini bagi memastikan keselamatan pengunjung terjamin.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, seramai 35 anggota polis pelancong bakal ditugaskan di lima daerah untuk membantu pelancong setakat ini.
Katanya antra daerah terbabit seperti Ipoh, Batu Gajah, Kuala Kangsar, Taiping dan Manjung.
"Di Perak dan Malaysia memang sudah ada unit ini, tetapi sebelum ini mereka tidak berada di kawasan-kawasan tertentu.
"Jadi sekarang boleh kata kita perbaharui atau jenamakan semula unit ini dengan 35 anggota memberi tumpuan di lima daerah dan 20 lokasi di negeri ini.
"Kita tubuhkan unit ini untuk memberikan rasa selamat kepada para pelancong yang datang ke Malaysia, tak kira dalam atau luar negara,"katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program townhall discussion 'Ke Arah Pelancongan Selamat Negeri Perak' serta pelancaran Unit Polis Pelancong Perak, di sini pada Khamis.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi.
Sementara itu, Nolee Ashilin berkata, pelancaran unit tersebut sekali gus membawa lebih ramai pengunjung hadir ke negeri ini.
Katanya, ia memberi gambaran positif dengan keberadaan polis pelancong di satu-satu kawasan yang strategik.
"Pihak kita akan menyediakan skuter elektrik kepada polis pelancong. Sebagai permulaan kita akan sediakan kemudahan itu di sekitar Ipoh.
"Kerajaan negeri akan teruskan usaha ini dengan memberi bantuan daripada sudut latihan, dan gerakan bersama menerusi informasi,"katanya lagi.
Polis pelancong merupakan polis yang memberikan maklumat mengenai undang-undang, adat dan budaya masyarakat tempatan serta tempat yang menarik untuk dikunjungi kepada pelancong.
Pakaian polis pelancong ialah seragam biru tua dengan topi lilitan berpetak putih.
Lencana yang dipakai mereka pada poket sebelah kiri pula tertulis lambang "i" yang merupakan kod antarabangsa yang bermaksud "informasi".