Pulau Misa, Gerbang Ke Zaman Kesultanan Melayu Lama - Produk pelancongan berpotensi besar
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Pelancongan
- Hits: 10482
Sejurus melangkahkan kaki ke Perkampungan Warisan Budaya Pulau Misa Melayu (PWBPMM), minda berilusi seolah-olah berada di zaman kemasyhuran Kesultanan Melayu lama.
Kelibat seorang demi seorang gadis berbusana Melayu berlari-lari anak sambil menjeling disebalik selubung batik menambah seri perkampungan yang dihuni lebih 40 orang ini.
Perasaan bertambah teruja apabila menyaksikan sekumpulan anak-anak muda berbusana Melayu lengkap bertanjak bermain sepak takraw berhadapan pintu masuk balairung seri.
Begitulah keunikan PWBPMM yang terletak di Kampung Teluk Kepayang, Bota Kiri, kini semakin dikenali dan berpotensi besar menjadi ikon pelancongan baharu negeri Perak.
Tidak dinafikan PWBPMM sememangnya sinonim dengan kesinambungan sejarah Kesultanan Negeri Perak yang wujud di daerah yang terkenal dengan lagu rakyatnya, Joget Wan Lebo.
Pengasas PWBPMM, Muhammad Faizal Abdul Halim, 51, berkata PWBPMM merupakan insiatif memelihara dan mempertabatkan warisan budaya Melayu Perak yang semakin dilupai oleh generasi kini.
“Idea Pulau Misa diambil daripada buku sejarah Melayu Negeri Perak yang ditulis oleh Raja Chulan untuk dipersembahkan Sultan Perak Ke-15, Sultan Iskandar Zulkarnain, putera kepada Almarhum Sultan Muhammad Shah (Sultan Perak ke-14). Ia merupakan sebuah perkampungan Melayu yang mengamalkan sistem beraja.
“PWBPMM dibuka secara rasmi pada tahun 1999 bertujuan mempertabatkan budaya Melayu Perak kepada masyarakat tempatan mahupun luar agar terus terpelihara dan tidak pupus ditelan zaman.
“Budaya Melayu, sebenarnya begitu indah jika dilihat dari keserhanaan cara hidupnya, jalinan rapat kepada alam semula jadi dan di mana akhirnya kembali kepada maha pencipta.
“Di sinilah peluang terbaik untuk melihat tamadun kehidupan masyarakat Melayu Perak yang kaya dengan pelbagai cabang warisan seni budaya untuk diperhalusi dan diamati bersama”, katanya yang turut dikenali sebagai Tok Temenggong.
Salain dari gelaran Tok Temenggong, gelaran seperti Tok kelana, Tok Lingga, Penghulu, Tok Sidang, Tok Sago dan Tok Usul diguna pakai bagi menggambarkan institusi sistem beraja di PWBPMM.
Acara Malam Melayu Sejati (MMS) yang diadakan pada setiap hari Sabtu sebelah malam bermula 9.30 malam antara tarikan utama di sini.
MMS merupakan malam lakonan semula istiadat menghadap raja di Balairung Seri yang dijayakan oleh Persatuan Kebudayaan & Muzik Nusantara Malaysia. Perbagai acara kesenian disajikan antaranya tarian tradisional, persembahan seni silat, seni silat tempur menggunakan senjata dan pelbagai lagi.
Selain daripada itu peluang menaiki bot menyusuri Sungai Perak sejauh dua kilometer tidak kurang menerujakan apabila menyaksikan keindahkan alam semujadi Pulau Misa di waktu matahari terbenam.
Kunjungan ke sini tidak lengkap sekiranya tidak menyaksikan ketangkasan anak muda menunggang kuda sambil memanah. Anda juga berpeluang menunggang kuda dengan pengawasan rapi dan selamat. Selain itu, terdapat juga aktiviti berkayak, kelas memanah dan bermesra dengan binatang peliharaan Petting Zoo seperti kambing dan arnab.
PWBPMM sememangnya diperakui berpotensi besar dalam industri pelancongan di negeri Perak. Keunikannya yang tersendiri bukan sahaja sekadar mengisi waktu riadah sekeluarga, malah ia mampu melangkah ke lebih jauh sebagai salah satu pusat rujukan warisan Melayu yang ‘tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas! - PERAKTASTIC-