Siapa sangka dahulunya Padang Koba merupakan padang ragut ternakan biri-biri, namun kini menjadi tumpuan ribuan pengunjung.

Semuanya bermula apabila Pengarah tersohor tahahair, Mohd Syamsul Mohd Yusof menjadikan Padang Koba yang terletak di Kampung Bakong Hulu, Lambor Kanan, Bota ini sebagai lokasi penggambaran filem biografi epik "Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan” yang mencetuskan fenomena luar biasa.

Pengerusi Persatuan Ukuwah Komuniti Teluk Bakong (PUKTB), Mohd Saiful Nizam Alang Ibrahim,42, berkata selepas tayangan filem Mat Kilau, kunjungan orang ramai semakin bertambah terutamanya di hujung minggu.

“Jumlah pengunjung setakat ini tidak kurang 500 orang pada hari-hari biasa, namun berbeza pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad jumlah pengunjung yang datang beriadah  lebih kurang 2,000 orang.

“Mungkin mereka datang ke sini kerana ingin menyaksikan sendiri lokasi pengambaran filem Mat Kilau selain bersantai bersama keluarga.

“Sememangnya Padang Koba dikelilingi kehijauan alam semulajadi saujana mata memandang ditambahi pula susur sungai Perak yang tenang menghala ke Pasir Salak hingga ke Bagan Datuh”, katanya semasa ditemubual oleh Peraktastic.

Sementara itu, salah seorang penduduk yang mengusahakan kawasan ini, Kamarul Baharin Aharudin, 50, berkata nama Padang Koba wujud kerana kawasan itu merupakan padang ragut ternakan seperti kerbau dan kambing biri-biri.

“Sebelum ini, Padang Koba dikenali sebagai Padang Ragut Kambing Biri-Biri dan  perkataan Koba adalah singkatan ‘Kerbau’ iaitu sebutan dalam loghat Bota,Perak.

“Tempat ini juga menjadi lokasi sukan air seperti berakit dan berkayak oleh pasukan Tentera Laut dan Bomba. PUKTB juga berjaya mengajurkan beberapa program kemasyarakat dan mendapat sambutan di luar jangkaan.

“Sempena sambutan merdeka tahun ini, PUKTB bakal melangsungkan Sambutan Ambang Merdeka di Padang Koba. Beberapa aktiviti  telah diaturkan seperti pembukaan gerai-gerai makanan, pertandingan karaoke dan permainan meriam”, katanya yang juga lebih dikenali dengan gelaran Tok Paduka Demang oleh penduduk setempat.

Padang Koba yang berkeluasan 57 ekar ini, antara insiatif Majlis Daerah Perak Tengah (MPT) dalam memperkenalkan produk pelancongan baharu di Perak. Ia bakal dimuatkan ke dalam risalah pelancongan Perak Tengah yang sedang dibangunkan.