Kampung Agong: Port kegilaan kaki ‘content’ !!!
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Pelancongan
- Hits: 2869
Berswafoto mahu pun memuat naik 'content' ke media sosial menjadi trend kegilaan sekarang tanpa mengira waktu dan di mana sahaja. Namun mungkin anda masih tercari-cari di manakah lokasi untuk merakamkan aksi kreatif 'berposing' sakan itu!
Nah! Kampung Agong, di sinilah ‘port’ baharu untuk berkarya kreatif menerusi lensa kamera anda, disamping meraih ketenangan jiwa bersama keluarga dan rakan taulan.
Berswafoto mahu pun memuat naik 'content' ke media sosial menjadi trend kegilaan sekarang tanpa mengira waktu dan dimana sahaja. Namun mungkin anda masih tercari-cari di manakah lokasi untuk merakamkan aksi kreatif 'berposing'sakan itu!
Tidak perlu melaburkan ribuan ringgit bercuti ke Bali, Bandung atau Yogyakarta kerana di Kampung Agong tersedia pelbagai prop untuk anda bergambar sepuas-puasnya.
Produk ekopelancongan ini terletak di Kampung Bakar Kapor, Penaga, Pulau Pinang, pada asalnya merupakan kawasan ladang kelapa yang dikelilingi sawah padi.
Kampung Agong, diberi nama julukan daripada pengasas tanah yang dikenali oleh penduduk kampung sebagai ‘Agong’. Ia berkeluasan 15 ekar dan dibuka pada tahun 2019 dan terbahagi kepada tiga bahagian.
Taman 1
Taman 1, dikelilingi pohon-pohon kelapa dan sebidang sawah padi. Terdapat gerai-gerai cenderahari yang menawarkan harga yang berpatutan.
Jangan lupa menikmati ‘Laksa Penang’, juadah ikonik yang harus dicuba di beberapa gerai makanan di sini sebelum menjelajah ke taman berikutnya.
Kepada anak-anak kecil yang ingin merasai pengalaman menunggang kuda, pastinya mengembirakannya. Anak anda akan di bawa menunggang kuda sambil diawasi petugas khas mengelilingi sawah padi dan berhenti di beberapa lokasi untuk bergambar.
Perasaan teruja melihat beberapa buah sarang burung gergasi turut mencuri perhatian pengunjung. Di sinilah, bermulanya detik-detik indah bergambar walaupun harus bersabar beratur panjang!
Taman 2
Kegairahan semakin menguasi jiwa apabila anda melangkah ke Taman Ke-2 ini di bawah teduhan pelepah kelapa menutupi kebiruan langit.
Mata terpukau, melihat hamparan sawah padi yang menghijau di kiri kanan laluan permatang menuju ke Taman Ke-3.
Terdapat sebuah raplika piano disediakan untuk pengunjung merakamkan aksi bermain piano sambil menikmati keindahan sawah padi saujana mata memandang.
Taman 3
Di sinilah syurga berswafoto yang dinanti-nantikan. Kunjungan anda bukan sahaja dikelilingi kebun kelapa dan sawah padi sebagai hiasan latar belakang foto anda, tetapi terdapat pelbagai prop seperti buaian, bingkai gambar, tangga impian, sarang burung gergasi, bulan sabit dan banyak lagi membuatkan anda tidak senang duduk untuk beraksi.
Idea dan kreativiti anda akan teruji di Taman Ke-3 ini, sebagai contohnya prop buaian yang menghadap gunung Jerai dan sawah padi sememang menjadi rebutan ramai. Bergambarlah dengan kreativiti, pastinya anda akan kagum sendiri!
Kepada yang ingin bermalam di sini atau ingin melangsungkan sebarang majlis keraian, terdapat kemudahan homestay dan tapak perkhemahan disediakan.
Tiket masuk untuk pemegang Mykad ialah RM10.00 dewasa dan RM5.00 kanak-kanak. Pelancong asing RM18.00 dewasa dan RM12.00 kanak-kanak.
Beroperasi setiap hari bermula 9.00 pagi hingga 6.00 petang.
Laman sosial: Instagram: kampungagong. Facebook : Kampung Agong. Laman Sesawang: www.kampungagong.com
Tempahan homestay: 013 480 7795. -PERAKTASTIC-