IPOH - Pelbagai usaha dilaksanakan Kerajaan Negeri melalui Tourism Perak bagi memastikan industri perhotelan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang tempoh pasca Covid-19 dapat disempurnakan dengan baik.

Bagi memastikan usaha itu berjaya, ahli jawatankuasa Pematuhan Garis Panduan Amalan Baik Produk Pelancongan (PGPABPP) memulakan pemeriksaan ke atas 24 hotel di sekitar Ipoh, hari ini. 

Ketua Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa berkata, Perak adalah negeri pertama di Malaysia yang bergerak secara serius dalam memastikan pengusaha-pengusaha hotel dan homestay mematuhi PGPABPP.

"Hari ini kita telah membuat pemeriksaan ke atas hotel-hotel yang telah disenarai pendek oleh Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dan Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA).

"Semua ahli PGPABPP turut berpuas hati terhadap penilaian yang dilakukan.

"Tourism Perak akan menyenaraikan kesemua hotel yang telah berjaya melepasi penilaian ini melalui laman sosial Facebook bagi rujukan pelancong yang ingin membuat tempahan penginapan tanpa rasa was-was.

"Minggu hadapan kami akan meneruskan penilaian ini ke homestay dan inap desa.

"Penilaian ini akan berterusan ke fasa seterusnya sehinggalah krisis penularan wabak pendemik Covid-19 berakhir di seluruh negara", katanya.

Beliau berkata demikian bagi mewakili Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi pada Majlis Penyerahan Sijil Pengesahan Pematuhan Garis Panduan Amalan Baik Produk Pelancongan Di Perak Pasca Covid-19.

Menurutnya, hasil dari penilaian yang dilakukan, mereka mendapati kesemua hotel yang terlibat telah bersedia sepenuhnya untuk menerima kunjungan tetamu.

"Selain dari mematuhi kaedah yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), kebanyakkan pengusaha hotel melakukan penambahan SOP yang sedia ada.

"Ini adalah inisiatif yang terbaik dalam memastikan keyakinan dan keselamatan pelancong diutamakan", katanya.