IPOH - Taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS) berkemungkinan akan beroperasi semula sekiranya wujud pengurusan baru.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, sekiranya taman tema itu kembali beroperasi, ia pasti bukan di bawah pengurusan Kerajaan Negeri. 

“MAPS adalah salah satu produk pelancongan yang terkenal beberapa tahun lalu. Kerajaan Negeri berharap taman tema tersebut akan beroperasi kembali bagi memeriahkan sektor pelancongan di Perak. 

“Difahamkan MAPS masih mencari jalan menyelesaikan beberapa isu berkaitan di samping menanti pelabur-pelabur swasta yang berminat mengambil alih pengurusan sekaligus dapat membantu sektor ekonomi negeri”, katanya.

Nolee turut menyentuh tentang perkhidmatan Bas Hop On Hop Off (HOHO) yang akan memulakan operasi pada Ogos ini. 

“Sedikit masa lagi kita akan menambah beberapa lokasi baru bas HOHO. Buat masa ini, kita masih mengekalkan lokasi yang sedia ada”, katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran inisiatif insuran pelancongan Covid-19 dan Mega FAM Tour anjuran Malaysia Inbound Chinese Association (MICA) di The Haven Resort Hotel, hari ini.

Menurutnya, selain memperkenalkan inisiatif insuran pelancongan Covid-19, MICA turut membantu mempromosikan produk pelancongan Perak.

“Kerajaan Negeri telah melancarkan pelbagai inisiatif menarik bersama pemain industri pelancongan dan kita berharap MICA dapat bersama-sama menggabungkan idea bagi memperhebatkan lagi sektor pelancong di Perak”, katanya.