GUNUNG SEMANGGOL: Suasana di Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) di sini,kembali meriah dan ceria dengan kehadiran pengunjung sempena musim cuti persekolahan pada awal bulan ini.

Tinjauan di lokasi tersebut juga mendapati, pengunjung yang hadir bukan hanya terdiri dari kawasan sekitar malah dari Pantai Timur dan selatan tanah air.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan M K Land Holdings Berhad, Datuk Faris Yahaya, terdapat pelbagai tarikan disediakan di BMLR, termasuk Taman Air, Zoo Haiwan Peliharaan, Pulau Orang Utan dan aktiviti rekreasi.

"Rata-rata pengunjung mengambil kesempatan cuti sekolah yang agak panjang ketika ini untuk membawa anak-anak bercuti dan berjalan-jalan.

"BMLR menjadi pilihan persinggahan destinasi pelancongan dalam kalangan ramai pengunjung bukan hanya kerana kedudukannya yang berhampiran dengan Lebuhraya Utara Selatan.

"Bahkan kerana harga bilik dan tiket masuk ke taman tema air yang dikenakan adalah amat berpatutan dan berbaloi, terutamanya bagi keluarga besar yang mempunyai anak yang ramai," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, katanya pelbagai aktiviti melibatkan penambahbaikan kemudahan telah dan akan terus dilaksanakan bagi kemudahan dan keselesaan para pengunjung.

Ini termasuk penambahbaikan kemudahan penginapan di Kampung Air dan penambahan bilik penginapan eksklusif bagi pengunjung yang ingin merasai kelainan dalam misi pelancongan mereka.
 
"Pelbagai pakej lain juga disediakan untuk individu, agensi kerajaan dan syarikat yang berminat untuk menganjurkan mesyuarat, seminar, majlis makan malam tahunan, malah majlis perkahwinan.
 
“Pihak syarikat juga sedang meneliti dan menilai semula pelan pembangunan induk Bukit Merah untuk menjadikan kawasan ini sebagai sebuah hab pembangunan yang baru bagi merancakkan sektor pelancongan dan hartanah di utara Perak”, katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menawarkan pakej menarik sepanjang musim cuti sekolah ini dan orang ramai boleh menempah pakej Syioknya Holiday yang disediakan, di mana baucar tiket promosi ini sah digunakan sehingga 31 Januari 2023.
 
“Bagi menarik lebih lebih ramai pengunjung, pihak resort akan mengadakan penganjuran lebih banyak aktiviti di sini.

"Ini termasuk penganjuran acara berbasikal Shimano Bukit Merah Laketown Resort Jamboree 2022 yang akan diadakan pada 17 Disember bermula pada jam 7:30 pagi.

"Dijangkakan seramai 1,000 peserta dari seluruh pelusuk negara akan menyertai aktiviti berkayuh ini yang melibatkan jarak kayuhan sejauh 58 km," katanya lagi.