Hitung detik Tahun Melawat Perak: Adakah Perak sudah bersedia?
- Details
- Saloma
- Pelancongan
- Hits: 491
IPOH: Kurang beberapa minggu lagi, Perak bakal menjadi tumpuan ramai susulan Tahun Melawat Perak 2024 (TMP2024).
Tidak dinafikan, jika bukan kerana TMP sekali pun, negeri ini yang dilimpahi banyak khazanah dan keunikan sering dilawati pelancong dalam dan luar negara.
Persoalannya, adakah negeri ini sudah bersedia dari sudut pelancongan berasaskan warisan dan sejarah? Dan adakah tapak dan bangunan tersebut dipulihara sebaiknya.
Dari apa yang dilihat sebelum ini, banyak bangunan yang sarat dengan nilai warisan terbiar dan reput dimakan zaman, termasuk runtuh kerana tiada penjagaan.
Antara sebab utama adalah disebabkan pemilikan tanah, kurang promosi dan tiada suntikan dana untuk memulihara bangunan tersebut.
Jika hendak dibandingkan dengan negeri seperti Melaka dan Pulau Pinang, nampaknya kita masih lagi jauh ketinggalan dalam usaha memulihara warisan yang berharga.
Usaha ini bukan hanya terletak kepada kerajaan negeri, tetapi termasuk pihak berkuasa tempatan, swasta dan orang ramai.
Menurut Timbalan Pengerusi Persatuan Kumpulan Sejarah Malaya (MHGSoc), Nor Hisham Zulkiflee, peranan Lembaga Muzium Negeri Perak juga penting dalam memberi maklumat berkaitan pelancongan warisan negeri.
Malangnya, menurutnya banyak muzium terutamanya di bawah pengurusan Lembaga Muzium Negeri Perak tidak beroperasi atas alasan pengubahsuaian dan sebagainya.
"Perak antara negeri yang ada banyak muzium diuruskan kerajaan pusat dan negeri mahupun swasta selepas Melaka.
"Jadi, besar harapan muzium ini dapat segera dibuka untuk Tahun Melawat Perak. Saya puji usaha seperti pembukaan semula Muzium Diraja Kuala Kangsar yang memberi nilai tambah kepada pelancongan warisan sejarah negeri," katanya ketika ditemui.
Ulasnya lagi, banyak produk pelancongan warisan yang perlu diketengahkan seperti di Ipoh, Taiping, Gopeng dan Batu Gajah.
"Saya dapati pelancongan warisan hanya diberikan perhatian kepada beberapa produk dan tapak sejarah warisan sahaja.
"Walhal kemudahan prasara seperti papan tanda sudah disediakan. Ini termasuk beberapa jejak warisan yang dibangunkan berasaskan tokoh atau sejarah seperti jejak warisan Perang Dunia Kedua dan Jejak Warisan Dr Sun Yat Sen.
"Malahan ada beberapa bandar lain seperti Kuala Kangsar, Kampar, Lenggong dan Perak Tengah perlu diuar-uarkan juga," katanya.
Tambahnya, ada tapak yang bukan sahaja mempunyai nilai sejarah setempat tetapi juga berkaitan sejarah negara dan miliki pengiktirafan UNESCO.
Contohnya, Kapal Korek Tanjung Tualang No.5, Kellies Castle, Victoria Bridge, Kota Belanda Pangkor, Pekan Lama Ipoh dan Lembah Lenggong.
"Selain itu, sambutan 150 tahun Taiping yang kebetulan jatuh pada tahun sama. Kita sedia maklum bandar warisan ini mempunyai banyak perkara pertama di Negeri-negeri Melayu.
"Kompleks Sejarah Pasir Salak juga perlu promosi dan suntikan dana segera untuk dinaik taraf. Replika Rumah Dato Maharaja Lela yang siap dibaik pulih juga ada potensi, harap dapat dibuka segera dan dipromosi," katanya.
Nor Hisham turut berharap kerajaan negeri melihat kemudahan yang disediakan di setiap tapak sejarah warisan.
Katanya, kebersihan dan papan tanda arah ke tapak berkenaan perlu dititikberatkan.
"Pihak berkuasa perlu bekerjasama dengan pemain industri termasuk NGO dan penduduk setempat dalam mempromosi dan memelihara tapak," katanya. -PERAKTASTIC-