Tanjung Tualang- Negeri Perak bakal mempunyai Petting Zoo terbesar di Malaysia menjelang Januari 2021 yang menggabungkan tiga elemen iaitu haiwan, tumbuh-tumbuhan dan alam semulajadi dengan keluasan 10 ekar.

Pengerusi Jawatan Kuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak, Dato' Nolee  Ashilin Mohammed Radzi berkata Petting Zoo yang akan mula dibagunkan pada bulan Oktober depan di Perak Agrotourism Resort (Patro) pastinya akan menjadi produk pelancongan yang menarik ramai pengunjung.

“Pembukaan semula pengoperasian Patro setelah ditutup sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan pertengahan Mac lalu akan membawa kesan yang baik kepada sektor pelancongan negeri ini.

“Patro dikenali sebagai pusat peranginan yang menggabungkan penginapan resort mewah berlatar belakangkan agrikultur. Ianya juga terkenal dengan pelbagai aktiviti riadah yang mencabar seperti sukan lasak ATV (All-Terrain Vehicle), bot kayuh dan berkayak.

“Kita berharap pengurusan baharu ini akan dapat membantu serta mengenengahkan produk-produk kraftangan dan makanan yang dihasilkan oleh komuniti setempat,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Relaunch Patro serta Majlis Pecah Tanah Pusat Latihan dan Petting Zoo Petro di Sungai Galah, Tanjung Tualang, di sini, hari ini.

Patro diusahakan oleh Kumpulan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP), telah dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 14 Mei 2014. 

Hadir sama Ketua Pengawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP), Yuhanis Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif Angsana Travel & Tours Sdn. Bhd., Dzulfadli Affendi.

Kini Angsana Travel and Tours Sdn.Bhd. telah diamanahkan oleh Kerajaan Negeri Perak melalui PPPNP sebagai peneraju utama pengurusan Patro yang menggabungkan elemen pelancongan dan pertanian di kawasan seluas 271.1 hektar.

Sementara itu Pengarah Urusan Angsana Group, Mohd. Redzuan Abdul Karim berkata Patro akan melalui beberapa fasa pembangunan dan naiktaraf.

“Selain dari mewujudkan Petting Zoo terbesar di Malaysia, kita juga akan membangunkan pusat latihan berkonsepkan agrotourism seluas lima ekar. Ia boleh menempatkan seramai 80 orang peserta pada satu masa. Pusat latihan ini mempunyai 10 unit penginapan (dorm), bilik kuliah, bilik seminar dan bebrapa kemudahan lain-lain.

“Sempena dengan pembukaan semula Patro, pihak pengurusan bersetuju memberi harga promosi sebanyak 50 peratus diskaun sehingga 31 Desember 2020 ini.

“Orang ramai boleh membuat tempahan penginapan menerusi WhatsApp www.wasap.my/60133810471/hipatroperak,” ujarnya.