KUALA LUMPUR – Pelbagai cara kreatif dilakukan bagi menonjolkan rasa cinta pada tanah air khususnya pada bulan kemerdekaan sepertimana oleh pihak Histourism apabila menghasilkan cenderahati berkonsepkan imej bangunan ikonik dan bersejarah negara.

Antaranya rantai kunci, penanda buku, pembalut telefon bimbit, kulit buku dan jam dinding menerusi ukiran tiga dimensi.

Pengasasnya, Mohd Fareq Rizal Mohd Fisal berkata, cenderahati tersebut dihasilkan sebagai inisiatif Histourism untuk mengetengahkan bangunan, struktur atau lambang-lambang bersejarah kepada umum.

Menurut beliau, ini kerana khazanah sejarah negara itu perlu disebar luas dan bagi pihaknya, penghasilan cenderahati juga bagi membolehkan ia dimiliki termasuk sebagai buah tangan kepada pelancong asing.

“Cenderahati-cenderahati ini diukir di atas kayu lembut atau dicetak pada resin dan logam menggunakan teknologi tiga dimensi, jadi ketepatan rupa bentuknya adalah sama sepertimana bangunan sebenar.

“Antara monumen yang dihasikan seperti pintu gerbang Kancapuri, Masjid Zahir, Balai Besar Kedah, Gerbang Kota Setar dan imej Bapa Kemerdekaan,Tunku Abdul Rahman,” ujarnya ketika ditemui di sini.

Cenderahati unik ini dihasilkan menerusi kerjasama pihak Histourism dengan syarikat MyCrO dan Tinkerzone Channel sebagai perekabentuk.

Mengulas lanjut kata Mohd. Fareq Rizal, idea menghasilkan cenderahati ini juga hasil maklum balas yang diterima pihaknya sepanjang lima tahun menjalankan penyelidikan serta mempromosikan pelancongan sejarah kepada pelancong luar dan tempatan.

“Kita juga telah berbincang dengan pihak berkaitan pelancongan di beberapa negeri untuk menghasilkan cenderhati serupa mengikut monument sejarah terkenal masing-masing.

“Pada masa sama kita juga bersedia menerima tempahan daripada mana-mana pihak yang berminat misalnya syarikat korporat,” ujarnya.

Sehubungan itu, mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi pihak Histourism di talian 014-9606 368 atau layari laman Facebook Histourism.