TAIPING – Majlis Perbandaran Taiping (MPT) memperuntukkan sejumlah RM1.8 juta iaitu sebahagian daripada peruntukan RM2.282 juta yang disalurkan melalui Kementerian Tenaga dan Sumber Asli pada tahun lalu, bagi menaik taraf Zoo Taiping dan Night Safari (ZTNS).

Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Taiping, Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, peruntukan tersebut turut meliputi Dana Prihatin Kebajikan Hidupan Liar sebanyak RM468,890.37.

Beliau berkata, wang tersebut akan digunakan untuk membina kandang pameran baharu bagi burung enggang dan reptilia serta menaik taraf kandang pameran malam untuk harimau, beruang dan singa.

“Beberapa syarikat dan agensi turut tampil memberikan bantuan berupa bantuan bekalan makanan untuk haiwan-haiwan di zoo ini sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

“Antara syarikat dan agensi terlibat termasuklah  Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Ayam Dinding dan Lotus (TESCO),” katanya.

Terdahulu, beliau hadir pada Majlis Sambutan Ulangtahun Jubli Intan ZTNS yang ke-60 di sini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohd Radzi dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Fakhrul Hatta Musa.

Pada majlis itu, ZTNS turut menyampaikan penghargaan kepada tiga penyumbang skim Anak Angkat zoo tersebut yang menaja orang utan dan harimau belang dengan nilai tajaan keseluruhan berjumlah RM52,000.