IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sedang menyediakan satu pelan tindakan dan penjenamaan pelancongan Greater Ipoh yang meliputi empat kawasan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG), Majlis Daerah Kampar (MDKpr) dan MBI.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata tujuan pelan tindakan ini diadakan adalah untuk merancang, mengurus dan mempromosikan industri pelancongan di kawasan-kawasan tersebut.

“Seperti yang kita ketahui, Ipoh adalah produk utama bagi sektor pelancongan khususnya bagi negeri Perak dan terletak di lokasi yang amat strategik.

“Justeru, melalui pelan ini, kita akan memperluaskannya (kawasan pelancongan terlibat) dengan melibatkan kawasan-kawasan yang berada di sekitar 30 minit hingga satu jam daripada bandaraya Ipoh,” katanya pada sidang media di Dewan Azlan Shah, Bangunan MBI, di sini, hari ini.

Menurutnya, melalui perancangan yang terdapat dalam Greater Ipoh, secara tidak langsung akan memberi ruang kepada kawasan-kawasan lain menambahkan aktiviti pelancongan khususnya bagi mereka yang berada di bandaraya Ipoh.

“Sejajar dengan hasrat Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud untuk menjadikan Ipoh sebagai Bandar Pintar Menjelang 2030, elemen pelancongan, warisan dan bebas karbon adalah aspek yang perlu dimasukkan dalam pembangunan tersebut,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Nolee berkata, konsep walkable city amat sesuai untuk dilaksanakan.

“Pembangunan baru seperti light and sound di Padang Ipoh, pembangunan semula di Kinta Riverfront dan Taman Dr Seevinasagam antara produk yang memerlukan kajian bagaimana untuk menyesuaikan bandaraya ini dengan fasiliti untuk pelancong bebas bergerak sebagai pejalan kaki bagi melestarikan produk-produk ini secara strategik.

“Selain itu, penambahan fasiliti Petting Zoo juga adalah bertepatan dengan tambah nilai produk sedia ada di Gunung Lang seperti Gua Matsoorat yang terletak dalam Geopark Lembah Kinta,” ujarnya

Beliau berkata, sebelum Covid-19, Ipoh pernah mendapat pengiktirafan pada tahun 2019 dengan menjadi negeri kedua yang menerima pelancong domestik tertinggi di Malaysia.

“Justeru, jika sempadan negeri dibuka kita berharap produk baru yang sedang dan akan dibangunkan MBI dapat membantu dalam menaikkan semula industri pelancongan di negeri ini,” katanya.

Terdahulu, Nolee Ashilin menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara MBI yang diwakili Rumaizi bersama tiga pihak yang terlibat iaitu Universiti Teknologi Malaysia (UTM)/Uni-Technologies Sdn Bhd diwakili Profesor Dr Amran Hamzah; Urban Scale Studio Sdn Bhd diwakili Datin Mazrina Abdul Khalid dan Pavilion Agro Farm diwakili Mohd Shariff Yahya.

Ketiga-tiga MOU itu berkaitan kajian pelan tindakan dan penjenamaan wilayah pelancongan Greater Ipoh, kajian walkable city kawasan Pekan Ipoh sebagai bandar pelancongan, warisan dan pelancongan serta tawaran penyewaan tapak di taman rekreasi Gunung Lang bagi cadangan pembinaan Pavilion Petting Zoo.