KUALA LUMPUR – Delegasi Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengadakan lawatan kerja selama sehari ke Istana Budaya dan Studio Jelas Juta di sini, hari ini.

Lawatan kerja itu diadakan bertujuan untuk membantu merealisasikan hasrat MBI menjadikan Ipoh Kota Seni pada masa hadapan.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud mengetuai delegasi tersebut, yang turut dihadiri pengurusan kanan MBI.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Zaiton Md Desa juga hadir bagi menyambut kedatangan delegasi MBI pada lawatan tersebut.

Sepanjang lawatan kerja di Istana Budaya, delegasi MBI telah mengikuti beberapa acara iaitu sesi tayangan video korporat serta taklimat panggung oleh Timbalan Ketua Pengarah (Artistik) Istana Budaya, Zaifri Husin dan Pengarah Pemasaran dan Pengurusan Panggung Istana Budaya, Hanida Mohamed Yusof serta teknikal oleh Pegawai Bahagian Teknikal Istana Budaya, Muhammad Zaki Abu Samah.

Selain itu, delegasi MBI turut dipertontonkan dengan persembahan artisari Istana Budaya (Selasar Pualam) dan mini konsert NSO Lambang Sari Series – La Fiesta pada lawatan kerja berkenaan.

Sejurus selesai di Istana Budaya, delegasi MBI kemudiannya ke Studio Jelas Juta serta menamatkan lawatan kerja selama sehari di kedua-dua lokasi berkenaan.