IPOH- Kerajaan negeri Perak menyambut baik memorandum persefahaman (MOU) antara Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Luncai Emas Publishing Sdn Bhd  yang ditandatangani Rabu lalu, bagi merealisasikan Ipoh sebagai Bandaraya Seni.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, MOU itu bertepatan dengan kesinambungan kerajaan negeri bagi menarik lebih ramai pelancong melalui bidang kesenian.

“Apa saja usaha untuk mempelbagaikan produk pelancongan boleh menjadi aset kepada kerajaan negeri, ini bersesuaian dengan perancangan kita melalui MBI menetapkan Ipoh sebagai hab seni.

“Kerajaan negeri jua menyokong pembukaan semula Pusat Inovasi dan Sumber Kreatif Perak (PiNCER) di Meru Raya bagi menggerakkan industri kreatif di bandaraya Ipoh.

“PiNCER satu-satunya pusat yang menawarkan sumber teknologi dan kepakaran, seperti studio, reka bentuk industri, kemudahan pengajaran, teater mini, bilik darjah dan galeri”, katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pra-pelancaran D’Nusa Kayangan Chemor, Perak di sini, hari ini.

Nolee juga menambah, bagi memperkukuh dan mempergiatkan lagi aktiviti kesenian di bandaraya Ipoh, kerajaan negeri akan mewujudkan teater terbuka di Taman D.R Seenivasagam (Taman D.R).

“Kita juga mendapat kerjasama Lembaga Visual Negara untuk mewujudkan Balai Seni Negara cawangan Perak, iaitu belakang Pejabat Pos lama.

“Pelbagai peruntukan telah disalurkan bagi tujuan tersebut seperti menaik taraf Town Hall sebagai teater, seperti mana di Istana Budaya. Inisiatif yang dilakukkan ini merupakan sokongan kerajaan negeri bagi menggalakkan penggiat seni tempatan berkarya disamping mampu membuka peluang pekerjaan dan menjana ekonomi semua pihak”, katanya.