IPOH, 19 Mei- Menteri Besar Perak Dato’ Seri Ahmad Faizal Dato’ Azumu mengumumkan sebanyak RM10.84 juta diperuntukkan bagi sektor pelancongan negeri Perak.
 
Peruntukan itu diumumkan melalui pembentangan Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Perak (FASA 2) semalam di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.
 
"Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif dengan merangka strategi dan inisiatif bagi menyokong pemulihan industri pelancongan.
 
"Ini semua dilakukan bagi menyediakan sektor pelancongan bagi menerima kehadiran pelancong selepas berakhirnya ancaman pandemik Covid-19", katanya.
 
Antara inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi Bagi Sektor Pelancongan adalah projek Naik Taraf Infrastruktur Pelancongan seperti pembinaan Outdoor Amphitheatre di Taman D.R Seenivasagam, menaik taraf kawasan-kawasan Geopark Lembah Kinta, kemudahan pelancongan di Ban Pecah, Kerian, membina Jeti Terapung ke Pulau Bangau, Teluk Intan dan Pembangunan Infrastruktur Pulau Bebas Cukai Pangkor.
 
Menurut Ahmad Faizal, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM3.06 juta bagi menambah baik dan mempelbagaikan Strategi Penggalakkan Pelancongan.
 
Ini melibatkan aspek promosi, pemasaran, penganjuran acara, digitalization dan pembangunan. Tambahan peruntukan sebanyak RM0.5 juta dikhususkan bagi penganjuran program-program pemerkasaan komuniti seni, budaya dan warisan negeri Perak.
 
"Selain itu, Kerajaan Negeri akan memberikan Pengecualian Bayaran Kadar Cukai Tiket kepada pengusaha taman tema sehingga 31 Disember 2020 dan Pengecualian Bayaran Pembaharuan Lesen Hotel kepada 560 hotel yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
 
"Kita berharap para pengusaha taman tema dan hotel akan memanfaatkan pengecualian ini untuk menaik taraf kemudahan di premis masing-masing supaya dapat menarik para pelancong selepas PKP ditarik balik kelak", ujarnya.