IPOH – Pendakwah terkenal, Datuk Mohd. Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim kini memilih untuk menggunakan media sosial seperti Facebook serta platform rancangan hiburan dan seni untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat secara lebih meluas.
 
Ketika ini beliau sedang berkolaborasi dengan beberapa penerbit bagi menghasilkan kandungan-kandungan rancangan tertentu yang bakal disiarkan menerusi kaca televisyen.
 
Menurut Ustaz Kazim, beliau juga akan merakamkan sebuah lagi lagu bersama sorang penyanyi dalam masa terdekat sempena Ramadan nanti.
 
“Sebelum ini saya pernah menyumbang suara untuk lagu Salawat 1442 yang diterbitkan sempena sambutan Maulidur Rasul pada tahun lalu bersama dua penyanyi rap, Tuju dan Tyco.
 
“Insyallah, kali ini juga bersama sorang lagi penyanyi dan lagu ini diharap dapat memberi inspirasi kepada masyarakat,” katanya.
 
Beliau ditemui selepas menjadi tamu semasa bersiaran di Radio Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini pagi tadi.
 
Selain itu kata Ustaz Kazim, beliau juga telah selesai menjalani pengambaran di sekitar bandar ini untuk sebuah telemovie yang akan disiarkan pada Ramadan nanti.
 
“Pada waktu terdekat juga saya akan menjadi juri sebuah rancanan lawak muzikal bagi sebuah saluran televisyen dan juga dijemput untuk terlibat berlakon dalam satu sitkom juga untuk siaran di televisyen yang akan dirakam pada April nanti.
 
“Sekarang saya lebih banyak menggunakan teknik berdakwah melalui seni dan hiburan selain media sosil termasuk mengadakan ceramah secara langsung menerusi laman Facebook.
 
“Pada masa sama, saya juga sedang berbincang untuk menjalinkan pelbagai kerjasama dengan MBI untuk menjayakan banyak program terutama memberi pemahaman kepada masyarakat tentang pematuhan Syariah,” ujarnya.