Irasdean & Afiq Hamidon, artis grafiti muda, berbakat, kreatif
- Details
- Personaliti Selebriti
- Hits: 1885
IDEA dan kreativiti dua pelukis grafiti yang membuak-buak dalam menghasilkan karya seni lukisan mural jalanan, telah berjaya menghidupkan suasana di dinding-dinding bangunan persekitaran.
Nurul Syakirah Saparudin atau lebih dikenali dengan nama Irasdean, 27, dan Muhammad Nur Afiq Hamidon (Afiq Hamidon), 24, bukanlah nama asing dalam kalangan pelukis grafiti di negeri Perak.
Kedua-dua anak muda ini adalah tulang belakang dalam menghasilkan lukisan mural di restoran Ayam Gepuk Ganteng di Bandar Meru Raya di sini.
Memulakan kerjaya sebagai pelukis grafiti pada tahun 2014, Nurul Syakirah adalah antara yang mempunyai bakat dalam menghasilkan potret realism manusia dan karakter haiwan.
Ibu kepada seorang anak lelaki berusia tiga tahun ini menjadikan minatnya sebagai pekerjaan sepenuh masa di samping membuat kerja-kerja sampingan untuk menjana pendapatan.
Menurutnya, antara kejayaan tertinggi yang pernah dicapai adalah mengadakan pameran dengan Balai Seni Lukis Negara pada tahun 2019.
“Selain itu, antara pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan apabila mendapat tawaran untuk melukis mural di pawagam Golden Screen Cinema (GSC) Gurney Plaza, Pulau Pinang pada tahun 2017.
“Kami diberi tempoh 10 hari untuk menyiapkan lima dinding berukuran antara 20 sehingga 50 kaki panjang untuk melukis karakter-karakter filem terkenal di situ.
“Walaupun masa yang diberikan amat singkat, tapi saya anggap itu sebagai cabaran dan berjaya menyiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.
“Apabila sesebuah hasil karya siap sepenuhnya, itu akan menjadi satu kepuasan kepada artis seperti saya,” kata graduan Diploma Multimedia dari Kolej Poly-Tech MARA itu.
Menyentuh mengenai rekaan, Nurul Syahirah berkata, lazimnya mereka akan berbincang dengan pelanggan mengenai perkara itu.
“Selalunya pelanggan akan memberi idea dan saya akan terjemahkannya dalam bentuk lukisan biasa terlebih dahulu. Apabila pelanggan bersetuju, baru saya akan memulakan kerja-kerja melukis mural,” ujarnya,
Apabila ditanya berhubung kenangan pahit sepanjang bergelar pelukis grafiti, dia berkata, setiap orang pasti ada hari yang tidak baik.
“Saya sendiri pernah jatuh tangga ketika sedang menyiapkan lukisan. Selepas itu, saya lebih berhati-hati ketika bekerja,” katanya yang menjadikan Katun, salah seorang pelukis grafiti terkenal di Malaysia dan luar negara sebagai idolanya.
Sementara itu, Muhammad Nur Afiq yang juga graduan Diploma Seni Halus dari Insititut Kraftangan Negara pula baru dua tahun aktif dalam bidang tersebut.
Bagaimanapun, dia telah berjinak-jinak dan berminat dalam menghasilkan lukisan sejak di bangku sekolah memandangkan bapanya juga adalah seorang pelukis terkenal iaitu Hamidon Ahmed.
Katanya, dia lebih kepada penghasilan graphic mural wording namun mampu menghasilkan pelbagai jenis lukisan bergantung kepada permintaan pelanggan.
Dari segi bayaran, dia menetapkan kadar bayaran setimpal dengan hasil kerja pelukis, demi memelihara nilai kerja yang diterjemahkan.
“Pelbagai peralatan diperlukan untuk menghasilkan lukisan termasuklah cat sembur yang diimport dari luar negara seperti Jerman dan Sepanyol. Cat ini digunakan kerana warnanya tahan lebih lama dan tidak mudah luntur.
“Harga untuk satu botol cat sembur pula boleh mencecah RM30 dan kami memerlukan banyak warna untuk menghasilkan lukisan berkualiti dan menarik,” ujarnya.
Muhammad Nur Afiq juga adalah salah seorang daripada dua pelukis mural di dinding Jalan Leong Sin Nam, Ipoh yang didedikasikan untuk barisan hadapan Covid-19 pada Disember lalu.
Menurutnya, penghasilan mural itu adalah projek kerjasama Balai Seni Negara dan Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Pelancongan.
“Pada Januari tahun ini, saya juga telah melukis mural air terjun lima tingkat hanya dalam tempoh empat hari dan itu antara lukisan yang paling mencabar untuk disiapkan kerana masanya yang amat terhad,” jelasnya.
Kedua-dua belia ini turut menasihati anak-anak muda yang mempunyai kemahiran dan bakat dalam bidang lukisan supaya tidak mensia-siakannya kerana ia boleh menjana pendapatan lumayan jika pandai mencari peluang dan rajin dalam menghasilkan kerja yang terbaik.
Pemilik Ayam Gepuk Ganteng (Ganteng Enterprise), Muhammad Syairazmin Azril Alias, 25, pula berkata, dia memilih kedua-dua pelukis ini kerana bakat mereka perlu ditonjolkan kepada orang ramai.
“Sayang jika bakat dan kemahiran yang ada tidak diketengahkan, jadi saya mengajak mereka untuk menghasilkan lukisan di dinding-dinding restoran ini.
“Secara tidak langsung, orang ramai boleh mengabadikan kenangan bergambar di mural tersebut setiap kali berkunjung ke sini,” katanya.
Kepada mereka yang berminat untuk melihat hasil kerja kedua-dua anak muda ini boleh ke laman sosial Instagram/Facebook irasdean dan Instagram afqhamidon.