KUALA LUMPUR – Coway Malaysia (Coway) berhasrat untuk membantu 10,000 kakitangannya yang masih belum mendapat suntikan vaksinasi di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Pengarah Urusan Coway Malaysia, Kyle Choi Ki Ryong berkata, syarikatnya turut mengambil bahagian dalam Program Imuninasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) untuk melindungi kesejahteraan seramai lebih 22,000 kakitangan Coway di seluruh negara.

Menurutnya, di bawah PIKAS, pihaknya akan berusaha untuk mendapatkan vaksinasi untuk kakitangan mereka yang terdiri daripada Coway Ladies (Codys), Juruteknik Servis, Juruteknik Coway, Perancang Kesihatan, Juruteknik Homecare dan juga kakitangan di ibu pejabat syarikat berkenaan.

Kataya, untuk mempermudahkan usaha pemvaksinan ini, Coway telah memperuntukkan RM1.1 juta untuk inisiatif perubatan khas tersebut.

“Kita mengutamakan keselamatan dan perlindungan ‘Cowayians’ kerana mereka adalah tulang belakang syarikat dan kita bersedia untuk mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan mereka menerima vaksin dalam masa terdekat,” jelasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, sebagai sebuah organisasi yang mempercayai dalam kepentingan ‘Persekitaran Lebih Sihat, demi Negara yang Sejahtera’, pihaknya amat berbangga menjadi sebahagian daripada kerjasama antara phak awam dan swasta, demi kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.

“Dalam pada itu, kita menyokong matlamat kerajaan untuk mencapai imuniti berkelompok dengan segera,” tambahnya.

Dilancarkan pada 16 Jun tahun ini, PIKAS adalah kerjasama awam dan swasta yang bertujuan untuk mempercepatkan pemvaksinan tenaga kerja Malaysia serta mempercepatkan imuniti berkelompok bagi seluruh masyarakat.