PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa tiada isu berbangkit mengenai peletakan jawatannya buat masa ini.

Menurutnya, beliau telah menyembah maklum kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam sesi mengadap di Istana Negara pagi tadi mengenai sejumlah surat akuan yang masih menyokongnya.

“Dalam majlis menghadap pagi ini, saya telah menyembah maklum kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa saya telah menerima sejumlah surat akuan daripada Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang meyakinkan saya bahawa saya masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat pada masa ini.

“Sehubungan itu, peletakan jawatan saya di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berbangkit,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung hari ini.

Perdana Menteri memaklumkan, statusnya sebagai Perdana Menteri hanya akan ditentukan oleh undi percaya yang akan dibuat oleh ahli-ahli Dewan Rakyat apabila Parlimen bersidang pada September ini.

Menurut beliau, keputusan itu telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam sesi menghadap di Istana Negara.

“Melalui cara ini, kedudukan saya sebagai Perdana Menteri dan Perikatan Nasional (PN) sebagai sebuah kerajaan akan dapat ditentukan mengikut undang-undang,” kata Muhyiddin.

Beliau mengesahkan terdapat lapan Ahli Parlimen UMNO telah menulis surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk menarik sokongan mereka kepadanya.

Katanya, bilangan tersebut diperoleh menerusi warkah yang diterima daripada Yang di-Pertuan Agong semalam.

“Di dalam warkah ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memetik dua peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Pertama, Perkara 43 (2) (a) iaitu: “Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu”

“Dan kedua, Perkara 43 (4) iaitu:“Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong”,” katanya.

Sehubungan dengan itu katanya, beliau telah dititah menghadap oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada jam 11 pagi tadi.

Muhyiddin mengakui kemelut politik sengaja dibangkitkan oleh pihak yang kurang senang dengan tindakannya tidak melayan beberapa tuntutan yang dikemukakan.

Katanya, ia termasuk desakan supaya beliau mencampuri urusan mahkamah dengan membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah.

“Saya juga telah dituduh menderhaka kepada Raja sedangkan apa yang saya lakukan adalah semata-mata untuk memelihara keluhuran Perlembagaan dan mempertahankan kemuliaan institusi Raja Berperlembagaan.

“Saya tidak akan mengorbankan prinsip saya dan membelakangi sumpah jawatan saya untuk menunaikan segala kewajipan dengan jujur, menumpahkan taat setia kepada Raja dan Negara serta memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan,” katanya dalam perutusan khas tersebut.