PUTRAJAYA - Seramai 352,649 orang guru atau kira-kira 85 peratus sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 di seluruh negara sehingga kini.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, seramai 52,256 orang anggota kumpulan pelaksana (AKP) juga telah menerima satu dos vaksin. Katanya, jumlah itu kira-kira 77.69 peratus.

"Selain itu, seramai 54,930 orang pekerja perkhidmatan sokongan termasuk operator bas dan van sekolah iaitu 46.64 peratus turut menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

"Bagi guru kelas peperiksaan pula, seramai 84,995 orang atau 94.89 peratus telah menerima satu dos vaksin," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Katanya, beliau menyeru kepada AKP dan pekerja perkhidmatan sokongan yang masih belum menerima temujanji dos pertama vaksin atau belum mendaftar supaya berbuat segera.

Jelasnya lagi, perincian mengenai pemberian vaksin secara walk-in di bawah Kementerian Pendidikan termasuk keperluan dokumen sokongan akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Pasukan Petugas Khas KPM -Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) kini sedang berusaha memastikan mereka yang berada dalam ekosistem pendidikan di sekolah menerima vaksin masing-masing.