PUTRAJAYA - Kelonggaran dan kemudahan sektor sosial kepada kepada individu yang telah menerima vaksin lengkap dan menetap negeri fasa 2 dan ke atas di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) diberikan berkuat kuasa Selasa ini.

Seseorang individu hanya diiktiraf sebagai individu lengkap vaksinasinya apabila penerima jenis vaksin dua dos perlu melepasi hari ke-14 suntikan dos kedua, manakala jenis vaksin satu dos pula perlu melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemudahan itu ialah rentas daerah dibenarkan dan makan di kedai dengan perlu menunjukkan sijil digital vaksinasi kepada petugas keselamatan di sekatan jalan raya dan pemilik kedai.

Kata beliau, turut dibenarkan ialah aktiviti sukan dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan (outdoor) dengan mematuhi jarak fizikal dan dilakukan di kawasan terbuka termasuk separa terbuka bermula pukul 6 pagi hingga 10 malam.

“Aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama dibenarkan melibatkan homestay dan hotel,” katanya dalam perutusan khas hari ini.

Individu yang ingin melakukan perjalanan rentas daerah mesti menunjukkan kepada petugas keselamatan di sekatan jalan raya sijil digital vaksinasi Covid-19 sebagai bukti telah menerima vaksinasi lengkap.

Begitu juga untuk dine-in di mana-mana premis makanan. Pengembara warganegara atau bukan warganegara yang pulang atau tiba dari luar negara yang lengkap menerima suntikan dua dos vaksin dibenarkan menjalani kuarantin wajib di rumah bermula Selasa ini.

Kata Perdana Menteri, pasangan suami isteri jarak jauh yang memenuhi syarat berkenaan turut dibenarkan merentas daerah dan negeri untuk bertemu pasangan masing-masing.

“Selain itu ibu bapa yang mendapat vaksinasi lengkap turut boleh merentas daerah dan negeri untuk berjumpa anak yang berumur 18 tahun ke bawah.

“Kebenaran di masjid solat dan surau solat turut diberi kepada jemaah yang telah menerima dua dos lengkap suntikan vaksin,” katanya.

Jelas Perdana Menteri lagi, langkah untuk mengawal pandemik ini juga memerlukan usaha bersepadu pihak kerajaan dan masyarakat.

"Individu, ketua komuniti dan perniagaan perlu berwaspada dalam mengambil langkah berjaga-jaga untuk mencegah penularan virus ini.

"Ingin saya tegaskan bahawa setiap kementerian dan agensi yang memantau kemudahan-kemudahan tersebut, termasuk pemilik premis mestilah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pelaksanaan kemudahan yang diberikan bagi memastikan ia dilaksanakan mengikut peraturan yang ditetapkan," ujarnya.