IPT Laksana Pengajian Maya Sehingga Hujung Tahun
- Details
- Sheqal Danish
- Nasional
- Hits: 607
PUTRAJAYA - Semua aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di kampus perlu dilaksanakan secara dalam talian sehingga 31 Disember ini.
Bagaimanapun, pengecualian ini hanya termaktub kepada lima kategori pelajar berkeperluan untuk pulang ke kampus secara berperingkat bagi melaksanakan pembelajaran.
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan memberitahu, kebenaran serta-merta itu diberikan kepada pelajar pasca-siswazah mod penyelidikan di Universiti Awam (UA) dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS).
"Kelonggaran ini hanya dibenarkan kepada pelajar yang berkeperluan hadir secara ke makmal, bengkel, studio atau memerlukan peralatan khusus bagi menjalankan penyelidikan," menurut KPT dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan tersebut turut memaklumkan, pelajar lain yang dibenarkan kembali ke kampus adalah pelajar semester atau tahun akhir yang perlu melaksanakan kerja klinikal, latih amal, makmal, bengkel atau yang memerlukan peralatan khusus mereka.
"Namun, mereka hanya dibenarkan untuk kembali ke kampus seawal 1 Julai ini.
"Bagi pelajar yang tidak mempunyai akses serta persekitaran tidak kondusif bagi melaksanakan PdP dalam talian, mereka juga dibenarkan pulang ke kampus pada tarikh sama.
"Manakala, untuk pelajar berkeperluan khas di politeknik dan kolej komuniti yang perlu mendapat bimbingan secara bersemuka kerana masalah pembelajaran pula dibenarkan pulang seawal 1 Ogos," jelas kenyataan itu.
Sementara itu, kemasukan pelajar baharu bagi sesi akademik 2020/2021 di semua pusat pengajian tinggi pula adalah secara berperingkat-peringkat.
"Kemasukan bagi pelajar politeknik serta kolej komuniti adalah seawal 1 Julai ini.
"Penetapan ini adalah tertakluk kepada arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa," kata kenyataan tersebut.