PUTRAJAYA - Kes jangkitan baru Covid-19 di Malaysia mencatatkan dua angka selama dua hari berturut-turut apabila hanya 10 kes direkodkan hari ini.

Ini adalah kes terendah yang dicatat sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu. 

Sebelum ini, kes positif terendah adalah sebanyak 16 kes pada 12 Mei lalu dan 15 kes semalam.

Menariknya, jumlah kes baharu itu memperlihatkan penurunan ketara berbanding 187 kes positif pada hari sebelumnya yang sebahagian besar melibatkan individu bukan warganegara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 10 kes Covid-19 itu menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan adalah sebanyak 7,629 kes.

Lima daripadanya melibatkan bukan warganegara manakala tiada kes import dilaporkan.

Beliau juga memaklumkan, tiada kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini. 

"Ini bermakna tiada kematian akibat wabak berkenaan direkodkan selama lima hari berturut-turut iaitu sejak 22 Mei lalu.

"Sebanyak 8 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, empat kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya pada sidang akhbar di sini.

Sementara itu menurutnya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 kini adalah sebanyak 1,345 kes.