KUALA LUMPUR – Seluruh Keluarga Malaysia diseru supaya membulatkan tekad untuk memerdekakan negara ini daripada pandemik Covid-19, kegawatan ekonomi dan ketidakstabilan politik.

Ini kerana cabaran yang dihadapi ketika ini belum pernah ditempuhi sebarang pemimpin dan kerajaan sebelumnya termasuklah di mana-mana negara apabila ia memberi kesan pada ekonomi dan juga politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Keluarga Malaysia juga diseru agar segera mendapatkan vaksin sebagai ikhtiar pemulihan negara kerana ia terbukti memberi impak positif.

"Sempena hari kemerdekaan ini, kita perlu berjuang memerangi pandemik Covid-19, sebagai musuh yang paling utama.

“Kejayaan ini akan membolehkan kita membuka jalan pemulihan ekonomi negara dalam norma baharu,” katanya ketika menyampaikan perutusan Hari Kebangsaan ke-64 menerusi televisyen malam tadi.

Tegas Perdana Menteri juga, melalui kerjasama penuh daripada semua pihak, peperangan melawan pandemik Covid-19 akan berakhir dengan kemenangan.

Dalam pada itu kata Ismail Sabri lagi, beliau bagi pihak seluruh Keluarga Malaysia mengalungkan setinggi-tinggi penghargaan kepada tokoh-tokoh negara yang sangat berjasa ini yang telah pergi meninggalkan kita.

"Kita mahu mempunyai semangat kebersamaan yang ditunjukkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Ismail Rahman, Tun Tan Cheng Lock, Tun H.S. Lee dan Tun V.T. Sambanthan.

"Ini juga termasuklah kebersamaan tokoh-tokoh dari Sabah dan Sarawak seperti Tun Datu Mustapha, Tun Muhammad Fuad Stephens, Tun Abdul Rahman Ya’kub dan Tun Temenggong Jugah terhadap pembentukan Malaysia," ucapnya.