KUALA LUMUR - Semua bantuan yang telah diumumkan kerajaan untuk disalurkan kepada rakyat perlu disalurkan dengan segera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara tersebut merupakan antara yang dibincangkan pada mesyuarat Kabinet pertama yang diadakan pagi tadi.

“Antara penekanan utama membincangkan status terkini jangkitan Covid-19 di negara kita untuk semua kementerian bergerak proaktif bagi pengukuhan tindakan tahap kesihatan demi melonjakkan semula aktiviti ekonomi yang memberi manfaat utama kepada rakyat.

“Saya turut mengingatkan para Menteri Kabinet, setiap kementerian perlu buktikan pencapaian dalam tempoh 100 hari,” katanya dalam hantaran pada laman Facebook hari ini.

Sehubungan itu kata Ismail Sabri, tindakan pantas dan bersepadu merupakan aspek utama bagi membebaskan Malaysia daripada ancaman wabak penyakit, kegawatan ekonomi serta kekusutan politik yang telah dilalui oleh rakyat sebelum ini.

“Segala bantuan yang telah diumumkan mesti disegerakan dan saya akan memastikan Kabinet ini berasaskan keberhasilan yang mengutamakan kestabilan dan keselamatan Keluarga Malaysia,” katanya.