KUALA LUMPUR - Tabung Covid-19 yang disediakan kerajaan kepada mangsa yang dirawat akibat dijangkiti virus itu memberi manfaat kepada 227 penerima melibatkan jumlah sebanyak RM309,700.

Bantuan khas hilang pendapatan RM100 sehari ini diberikan kepada individu yang dirawat dan dikuarantin. 

Majoriti penerima bantuan adalah yang  menerima rawatan sehingga 14 hari atau kurang berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tabung Covid-19 ini dilancarkan sejak 11 Mac lalu. 

Timbalan Ketua Pengarah (Pasca Bencana) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Mohamad Azhan Md Amir berkata, sehingga kini pihaknya  menerima lebih 8,000 permohonan.

Menurut beliau, pihaknya sedang melakukan tapisan untuk memastikan semua urusan pengagihan bantuan berjalan lancar.

Beliau juga meminta orang ramai yang ingin memohon bantuan itu supaya membaca dan memahami syarat kelayakan bagi memastikan permohonan dapat diuruskan dengan cepat.

Sementara itu, Bantuan Ihsan Kematian sebanyak RM5,000 telah diserahkan kepada 87 waris mangsa yang terkorban akibat Covid-19 melibatkan jumlah RM435,000.

Sehingga kini, Tabung Covid-19 telah mengumpulkan sebanyak RM42.924 juta hasil daripada pelbagai sumber.