MELAKA - Bekas Ketua Menteri, Tan Sri Mohd Ali Rustam dijangka akan mengambil watikah sebagai Yang Dipertua Melaka yang baharu pada 3 Jun depan.

Pelantikan tersebut bakal melakar sejarah tersendiri apabila buat pertama kali menyaksikan anak Melaka dilantik ke jawatan tersebut.

Mohd Ali akan dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka ketujuh itu bagi menggantikan Yang Dipertua Negeri keenam, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob, 82, yang akan menamatkan jawatan terpenting di negeri ini pada 4 Jun.

Istiadat mengangkat sumpah jawatan Yang Dipertua Negeri Melaka di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan disempurnakan pada 5 Jun ini.

Mohd Ali dilahirkan pada 24 Ogos tahun 1949 di Kampung Bukit Katil dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Katil dan SK Semabok.

Beliau mendirikan rumahtangga bersama Puan Sri Hajah Asmah Abd Rahman pada 1985 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu dua lelaki dan seorang perempuan.

Bekas Ketua Menteri ini menerajui negeri tersebut sejak tahun 1999 sehinggalah tahun 2013.