KUALA LUMPUR – Keinginan orang ramai untuk rentas negeri setelah lama terperap di rumah mungkin bakal menjadi kenyataan sekiranya perkara itu diberi pertimbangan kerajaan tetapi dengan bersyarat.

Ini kerana berkemungkinan perkara itu menerima lampu hijau berikutan kebenaran rentas negeri penting sebagai langkah memulihkan industri pelancongan negara yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya sedang berbincang dengan pelbagai pihak untuk tujuan itu.

Menurut beliau, pengumuman mengenai hasil perbincangan kebenaran rentas negeri akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Apabila rentas negeri dibuka orang luar boleh masuk (ke negeri lain). Kementerian telah senaraikan nama-nama destinasi.

“Bukan sahaja pulau, termasuk kawasan darat seperti Genting Highland, Cameron Highland, Fraser Hill dan lain-lain destinasi,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Muda, Syed Saddiq berhubung gelembung pelancongan di destinasi selain Langkawi.

Nancy dalam satu kenyataan beliau pada Ogos lalu menegaskan bahawa pembukaan sektor pelancongan domestik yang dibuat secara berperingkat-peringkat mengikut fasa dapat memberikan sinar buat penggiat industri pelancongan selaras dengan Pelan Pemulihan Pelancongan, yang telah digariskan oleh Motac," katanya dalam kenyataan itu.

Pada masa sama, kenyataan Motac itu memaklumkan, kelonggaran itu sedikit sebanyak dapat memberikan suntikan semangat kepada semua pihak yang terbabit, bagi merancakkan semula sektor pelancongan, seni dan budaya di negara ini.