PUTRAJAYA - Pemberian dos ketiga vaksin Covid-19 bagi golongan rentan bakal dilaksanakan selepas liputan imunisasi populasi dewasa di seluruh negara mencapai 80 peratus.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan cadangan tersebut.

Katanya, keutamaan pada kumpulan yang berisiko tinggi terlebih dahulu seperti petugas barisan hadapan kesihatan, pesakit kurang daya tahan imun dan warga tua dengan komorbiditi.

"Dos ketiga itu juga akan meliputi individu yang tinggal atau bekerja di pusat jagaan jangka panjang.

"Dos ketiga ini dapat meningkatkan tahap imuniti dalam kalangan individu berisiko tinggi terhadap jangkitan Covid-19 yang mungkin menurun dalam tempoh tertentu selepas dos kedua," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Untuk itu, panel pakar perubatan dan kesihatan sedang membangunkan garis panduan pelaksanaan pemberian dos ketiga ini.

Perdana Menteri berkata, kesemua perincian berhubung pelaksanaan Pakej Penjagaan Covid-19 serta pemberian dos ketiga vaksin akan diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.