KUALA LUMPUR - Seperti dalam filem Catch Me If You Can lakonan Leonardo DiCaprio, akhirnya usahawan kosmetik, Nur Sajat ditangkap oleh pihak Imigresen Thailand.

Nur Sajat atau nama sebenarnya, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman ditangkap oleh pada 8 September lalu

Mengesahkan perkara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, usahawan kosmetik itu ditahan kerana kesalahan memiliki pasport yang tidak sah.

“Pada 9 September lalu, Sajat telah dihadapkan ke Mahkamah Thailand atas kesalahan Imigresen dan dikenakan hukuman denda.

“Dia turut dikehendaki di Malaysia bersabit kes mengikut Seksyen 185 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

"Ianya bersabit kesalahan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Jelasnya, usaha untuk membawa pulang Nur Sajat sedang giat dilaksanakan.

Media sebelum ini melaporkan, Nur Sajat ditahan di sebuah kondominium mewah di Bangkok, Thailand, bersama seorang lelaki Thailand yang juga berperwatakan wanita oleh pihak Imigresen.

Mahkamah Tinggi Syariah pada 23 Februari lalu, mengeluarkan waran tangkap terhadap Nur Sajat kerana gagal hadir pada prosiding kes berpakaian wanita tiga tahun lalu.