PUTRAJAYA - Aktiviti rentas negeri dibenarkan dengan syarat mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis yang telah dibuat Kementerian Kesihatan (KKM).

Kerajaan juga membenarkan pembukaan pusat-pusat pelancongan iaitu pulau-pulau atau kawasan pelancongan.

Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri hari ini bersetuju untuk membenarkan pembukaan beberapa buah sektor bermula esok.

Antaranya kedai runcit, pasar mini, restoran, stesen minyak dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi berkuat kuasa esok dari pukul 6 pagi hingga 12 tengah malam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan berkata, operasi perniagaan spa, pusat kesihatan dan urut kesihatan dibenarkan kepada pengunjung dan operator yang telah menerima dos lengkap vaksin bermula 1 Oktober 2021.

“Pusat, premis atau produk pelancongan seperti zoo, perladangan, akuarium, snorkeling, selam skuba, pelancongan memancing dan taman rimba dibenarkan beroperasi di semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa 1 Oktober.

"Dengan syarat semua pengusaha atau operator dan pelawat atau pengunjung lengkap divaksin,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Selain itu, menurut Ismail Sabri, kehadiran pekerja bagi setiap perniagaan yang dibenarkan beroperasi adalah pada kapasiti 100 peratus dengan syarat majikan dan semua pekerja lengkap divaksin.

“Warga asing yang tiba di pintu masuk antarabangsa perlu menanggung kos ujian saringan RT-PCR di pintu masuk negara, manakala bagi warganegara adalah percuma,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa tiga buah negeri akan beralih fasa PPN pada Jumaat ini iaitu Negeri Sembilan daripada Fasa 3 kepada Fasa 4, Pahang (Fasa 2 kepada Fasa 3) dan Johor (Fasa 1 kepada Fasa 2).

“Peralihan fasa ini mengikut garis panduan yang ditetapkan PPN dengan mengambil kira kemasukan ke hospital bagi kes bergejala, penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) serta peratusan lengkap divaksinasi," ujar beliau.