PUTRAJAYA - Kelonggaran rentas negeri boleh dinikmati rakyat dalam masa beberapa minggu lagi berikutan bayang-bayang mengenai perkara tersebut diberikan Perdana Menteri.

Ia berdasarkan pencapaian memberansangkan kadar vaksinasi yang mencecah sebanyak 81 peratus populasi dewasa melibatkan 18.9 juta individu pada Rabu lalu.

Justeru kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sasaran 90 peratus vaksinasi sebagai syarat untuk membenarkan pergerakan rakyat sebagaimana diumumkan mampu dicapai sedikit masa lagi.

“Jumlah 81 peratus (vaksinasi) sudah dicapai pada Rabu lepas, dan saya sudah umumkan ini yang ditunggu-tunggu rentas negeri apabila mencapai 90 peratus penduduk yang divaksin.

“Maknanya dah tak lama dah tu nak rentas negeri. Jadi bolehlah balik kampung, jumpa ibu bapa, saya difahamkan sudah setahun tak berpeluang untuk jumpa ibu bapa.

“Insya-Allah sabar dulu beberapa minggu lagi saya percaya 90 peratus dapat dicapai dan kelonggaran diberi untuk rentas negeri,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran Rumah Ikram Keluarga Malaysia di sini hari ini.

Pada 22 September lalu, Perdana Menteri mengumumkan pembukaan pusat-pusat pelancongan, pulau-pulau atau kawasan pelancongan berserta aktiviti rentas negeri dibenarkan.

Bagaimana pun, ia dengan syarat mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis yang dibuat Kementerian Kesihatan.

Beliau berkata, perkara itu adalah ketetapan lain seperti diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19.