PUTRAJAYA - Dakwaan seorang aktivis berhubung kematian lima remaja yang dikatakan selepas mendapat suntikan vaksin di Perak, Sabah dan lokasi yang tidak dimaklumkan adalah tidak benar.

Berikutan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) memandang serius klip video yang tular semalam tentang kemasukan dua remaja ke sebuah hospital selepas mengalami kesan samping susulan suntikan vaksin Covid-19.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, dua remaja berusia 17 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai di Ipoh meninggal dunia sebelum divaksin.

Menurut beliau, seorang remaja perempuan berusia 17 tahun adalah pelajar tingkatan 5 yang juga pesakit diabetes jenis 1 yang bergantung kepada rawatan insulin.

"Pelajar ini dijangkiti Covid-19 dan meninggal pada 18 Ogos lalu sebelum Program Vaksinasi PICK Remaja bermula.

"Seorang remaja lelaki sebaya sekolah sama pula menghidap penyakit jantung kongenital. Pelajar ini dibawa ke Unit Kecemasan Hospital akibat jangkitan kuman yang teruk," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Noor Azmi berkata, ketika dirawat, bantuan pernafasan dan resusitasi diberikan tetapi beliau meninggal dunia pada 17 September lalu serta belum menerima vaksin Covid-19.

Katanya, punca kematian pelajar terbabit adalah sepsis dengan sejarah penyakit kongenital manakala hasil siasatan pula mendapati tiada laporan kematian remaja di Lahad Datu akibat vaksin Covid-19.

"Mengenai dakwaan berikutnya, dua remaja berusia 16 dan 18 tahun itu dimasukkan ke hospital swasta di Ipoh akibat kesan sampingan vaksin jenis Comirnaty.

"Remaja 16 tahun sudah dibenarkan keluar yang berusia 18 tahun masih dalam rawatan dan pemerhatian doktor pakar di hospital itu," ujary.

Jelas Noor Azmi, semakan oleh Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagaimana pun mendapati laporan kesan sampingan kedua beradik ini masih belum diterima.

Pada masa sama, Noor Azmi berkata, penyebaran maklumat tidak benar kepada masyarakat adalah sikap yang sangat tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, semua pihak perlu memastikan kesahihan sumber maklumat yang ingin dikongsi daripada sumber atau pihak bertanggungjawab, sebelum mengeluarkan maklumat awam.