KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengucapkan takziah di atas pemergian bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong yang ditemui meninggal dunia di kediamannya pagi, Ahad.

"Innalillahiwainnailaihirojiun. Bekas Ketua Pengarah, Majlis Sukan Negara Malaysia, Datuk Seri Zolkples Embong meninggal dunia pagi semalam.

"Semoga rohnya mendapat rahmat dengan anugerah keampunan daripada Allah SWT serta dikurniakan tempat bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah," katanya di akaun media sosial, Facebook.

Berita mengenai kematian arwah dikongsi oleh akaun Twitter, Atlet Malaysia pada jam 10.23 pagi semalam, dan menurut polis kematiannya berpunca daripada serangan jantung.

Terdahulu, mayat bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong ditemui di rumahnya di Pandan Indah.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, sebelum itu bekas pembantu peribadi beliau membuat panggilan MERS 999 menyatakan Zolkples gagal dihubungi.

 "Bertindak atas laporan, sepasukan anggota ke rumah teres dua tingkat yang dihuni beliau kira-kira 10 pagi untuk melakukan pemeriksaan dan mendapati pintu rumah dalam keadaan berkunci.

"Anggota cuba beberapa kali mengetuk pintu dan memanggilnya, namun tiada jawapan lalu memaksa anggota memecahkan pintu untuk masuk membuat pemeriksaan.

"Polis menemui arwah dalam keadaan tidak sedarkan diri dan pemeriksaan oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan beliau sudah meninggal dunia," katanya kepada pemberita, semalam.

Mohamad Farouk berkata, keluarga memberitahu Allahyarham pernah membuat pembedahan jantung kira-kira 10 tahun lalu dan tidak menjalani rawatan susulan selepas itu.

"Menurut keluarga, arwah juga ada membuat ujian saringan Covid-19 kali terakhir pada Jumaat lalu dan berkeputusan negatif," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan di lokasi tidak menemui sebarang unsur jenayah atau kesan pecah masuk dan pergelutan.

Katanya, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR) dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Sri Petaling, di sini, untuk pengurusan dan dijangka dikebumikan di Kampung Sura, Dungun, Terengganu.

Allahyarham pernah mengemudi MSN selama tujuh tahun dari April 2007 hingga Disember 2014.