KUALA LUMPUR - Sepertimana yang ditetapkan, kebenaran rentas negeri dijangka akan berlaku dalam masa terdekat selepas sasaran 90 peratus kadar vaksinisasi dewasa tercapai.

Malah, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberi bayangan bahawa kebenaran akan berlaku dalam tempoh beberapa hari sahaja lagi.

“Kebenaran merentas negeri tinggal beberapa hari sahaja lagi,” ujarnya pada sidang akhbar di Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini.

Dalam pada itu, Khairy berkata, cadangan pemeriksaan kepada golongan yang belum divaksin di setiap sekatan jalan raya (SJR) ketika kebenaran merentas negeri diberi tidak akan berlaku.

“Kita tidak akan lakukan pemeriksaan di setiap SJR, orang akan marah dan akan berlakunya kesesakan jalan raya sebab orang dah lama tidak pulang ke kampung.

“Apa yang boleh kami buat adalah dengan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada akan dikekalkan antaranya golongan ini tetap tidak dibenarkan dine-in di kedai makan.

"SOP sedia ada akan terus dijalankan setelah kebenaran rentas negeri dibenarkan,” katanya.

Khairy Jamaluddin turut memberitahu keyakinan Kementerian Kesihatan bahawa semua negeri bakal melengkapkan 80 peratus kadar vaksin bulan ini kecuali di Sabah.

Jelasnya, Sabah dilihat tidak akan capai sasaran tersebut kerana ketika ini rakyatnya sudah tidak lagi ke pusat pemberian vaksin (PPV).

“Hanya di Sabah sahaja saya tidak yakin sasaran 80 peratus itu bulan ini, namun saya sudah berhubung dengan pengarah kesihatan negeri untuk lengkapkan juga sasaran tersebut.

“Kita akan gunakan data yang ada dan akan lakukan kampen gerak vaksin terhdap masyarakat di sana,” katanya.

Pada sidang akhbar yang sama, Menteri Kesihatan turut berkata bahawa Kabinet akan membincangkan segala aspek Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada mesyuarat Jemaah Menteri esok.

Perkara itu bukan sahaja melibatkan aspek kesihatan tetapi perundangan dan Perlembagaan.

“Berhubung isu PRN Melaka, Kementerian Kesihatan telah bentangkan pendirian dalam mesyuarat Jawantankuasa Pandemik semalam.

Kita akan bincang sekali lagi dalam mesyuarat Jemaat esok.

“Ini bukan sahaja melibatkan soal kesihatan tetapi perundangan dan Perlembagaan.

Kita ambil keputusan Jemaah Menteri, Kementerian Kesihatan akan sediakan SOP diperlukan sekiranya berterusan,” katanya.