PUTRAJAYA – Berita yang paling ditunggu-tunggu rakyat Malaysia akhirnya apabila kebenaran rentas negeri diberikan oleh kerajaan bagi mereka yang telah lengkap divaksin bermula esok (11 Oktober).

Kebenaran ini diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sidang Media Khas yang disiarkan secara langsung petang tadi

Menurut Perdana Menteri, dengan keputusan itu rakyat bebas melakukan pergerakan seperti balik kampung untuk berjumpa ibu bapa yang telah lama berpisah, melancong dan sebagainya.

Kata beliau, data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 90 peratus.

Ujarnya, data terkini akan dikemas kini di laman sesawang COVIDNOW pada tengah malam ini.

“Rentas negeri dibenarkan oleh kerajaan bermula esok jadi esok bebaslah dan inilah yang ditunggu oleh masyarakat.

"Bagaimana pun, saya harap jangan ambil lewa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP),” katanya dari Bangunan Perdana Putra di sini.

Sebaliknya, individu yang masih belum lengkap vaksinasi atau enggan mengambil suntikan vaksin Covid-19 tidak dibenarkan melakukan aktiviti rentas negeri.

Kata Ismail Sabri Yaakob, syarat utama kebenaran untuk merentas negeri bermula esok adalah kepada mereka yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

“Walaupun mungkin tiada sekatan jalan raya (SJR) khusus untuk sekatan rentas negeri, tetapi pihak polis boleh pemeriksaan di mana-mana sahaja termasuk di kawasan rehat dan rawat (R&R).

“Pemeriksaan secara rawak akan tetap dilaksanakan oleh pihak berkuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“SJR yang dilakukan oleh pihak polis bagi menjamin keselamatan negara juga boleh membuat pemeriksaan terhadap aplikasi Mysejahtera,” katanya pada sidang media khas di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kebenaran rentas negeri tidak termasuk bagi kawasan yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kerana tiada pergerakan keluar masuk ke kawasan itu dibenarkan.

Orang ramai yang akan melakukan aktiviti rentas negeri termasuk pulang ke kampung halaman bermula esok dinasihati melakukan ujian Covid-19 kendiri sebelum memulakan perjalanan.

Mereka yang bergejala seperti demam, batuk, selsema dan sesak nafas pula dinasihati menangguhkan dahulu perjalanan mereka.