Putrajaya: Tempoh wajid kuarantin bagi pengembara yang tiba dari luar negara dan kontak rapat kepada kes positif COVID-19 akan dikurangkan.

Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin berkata  pengurangan tempoh kuarantin wajib itu akan berkuatkuasa pada Isnin, 18 Oktober 2021 ini.

"Mereka yang telah lengkap vaksinasi COVID-19 akan menjalani tempoh kuarantin selama tujuh hari, manakala mereka yang tiada atau tidak lengkap vaksinasi COVID-19, perlu menjalani tempoh kuarantin selama 10 hari.

"KKM memaklumkan bahawa mereka yang terlibat antaranya ialah:

i. Mana-mana warganegara, pemastautin tetap Malaysia dan ekspatariat/ kor diplomatik /mana-mana orang asing lain yang dibenarkan oleh Ketua Pengarah Imigresen memasuki Malaysia dari luar negara.

ii. Kontak rapat kepada kes positif COVID-19.

iii. Individu yang diberi perintah pengawasan dan pemerhatian oleh pegawai diberi kuasa, contohnya individu yang pulang dari kawasan
berisiko tinggi berlaku penularan jangkitan seperti yang diumumkan oleh kerajaan," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Khairy, bagi tujuan menyelaras dan memastikan kelancaran pelaksanaan tempoh kuarantin baharu itu, KKM menggariskan ketetapan seperti berikut:

i. Semua individu yang diberikan perintah pengawasan dan pemerhatian oleh pegawai diberi kuasa bermula pada 18 Oktober 2021, akan menjalani kuarantin 7 hari bagi mereka yang lengkap vaksinasi COVID-19 dan 10 hari bagi yang tiada atau tidak lengkap vaksinasi COVID-19.

ii. Bagi individu yang sedang menjalani kuarantin wajib, mereka akan diberi Pelepasan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (Release Order) mengikut tempoh kuarantin baharu yang telah diumumkan.

Walau bagaimanapun ujian RT-PCR perlu dijalankan sebelum Pelepasan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian.

Sehubungan itu, bagi individu yang sedang menjalani kurantin wajib hari ke-5 dan ke atas serta telah lengkap vaksinasi COVID-19, mereka akan menjalani ujian RT-PCR bermula semalam.

"Sekiranya keputusan ujian pengesanan COVID-19 adalah negatif, mereka akan diberikan Pelepasan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian pada 18 Oktober 2021.

"Manakala bagi individu yang tidak mengambil vaksin atau tidak lengkap vaksinasi COVID-19 dan sedang menjalani kurantin wajib hari ke-8 dan ke atas, mereka juga boleh menjalani ujian RT-PCR bermula hari ini," katanya.

KKM memaklumkan bahawa garis panduan sedia ada yang berkaitan masih terpakai dan orang awam diingatkan untuk mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.

Kegagalan untuk mematuhi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian itu, merupakan satu kesalahan di bawah
Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.