PUTRAJAYA - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyatakan pendirian sangat tidak bersetuju atau bantahan terhadap  penjualan arak dengan jenama Timah seperti yang diperkatakan ketika ini, kerana  ia jelas haram di sisi Islam, selain membawa keburukan terhadap masyarakat. 

Menurut kenyataan Bahagian Media dan Teknologi Dakwah YADIM, pihaknya  berpandangan, penggunaan jenama arak dengan perkataan  berbahasa Melayu seperti Timah itu sendiri merupakan satu strategi penjenamaan yang bersifat provokatif terhadap masyarakat majoriti Melayu Muslim di Malaysia. 

"Meskipun telah dijelaskan oleh syarikat pengeluar bahawa perkataan Timah yang  digunakan tidak merujuk kepada nama wanita sebaliknya merujuk kepada  terjemahan Bahasa Melayu kepada perkataan “Tin”. 

“Tidak kurang provokatifnya juga tindakan Winepark Corporation yang melancarkan  jenama arak ini secara rasmi pada 7 Oktober yang lalu semasa umat Islam berada  dalam mood menyambut peristiwa kelahiran Junjungan Mulia Nabi SAW.,” kata kenyataan itu hari ini. 

Jelasnya, walaupun ada sebahagian agama membenarkan arak, namun ia tidak sewajarnya  dipromosi secara terbuka dan meluas kepada seluruh masyarakat yang majoritinya  adalah dari kalangan muslim. Mereka boleh sahaja menghasil dan mengedar arak  secara terhad kepada golongan yang dibenarkan meminum arak dengan pilihan  jenama yang banyak tanpa menyentuh sensitiviti umat Islam.

Tambahnya, YADIM juga kesal kerana biarpun arak berjenama ini telah didaftarkan cap  dagangan sejak 2019 dan menerima anugerah antarabangsa sejak tahun 2020 lagi,  polemik yang timbul ini seolah mengulangi kembali kontroversi terhadap  penggunaan jenama yang biasa dengan masyarakat Melayu Muslim seperti produk  makanan yang berasaskan babi seperti Burger P Ramly (Pork) dan Restoran  Naughty Nuri yang hangat sekitar tahun 2016.  

Tindakan-tindakan ini amat tidak sensitif terhadap sentimen masyarakat Muslim di  Malaysia dan memberikan imej yang buruk kepada pihak kerajaan. Tindakan yang  berterusan memprovokasi sentimen Umat Islam harus segera dihentikan kerana ini  pastinya menggugat keharmonian umat Islam yang menjadi teras kestabilan negara  ini. 

Dalam hal ini, YADIM amat bersetuju dengan tindakan yang diambil oleh  Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang telah melaporkan  kepada Kementerian-Kementerian yang mempunyai bidang kuasa terhadap  penjualan arak di Malaysia untuk mengambil tindakan sewajarnya 

Selain dari itu, YADIM sebagai sebuah Yayasan milik kerajaan akan menggunakan saluran yang ada bagi menyatakan pendirian kepada pihak kerajaan yang perlu  mengambil langkah yang lebih proaktif terhadap industri yang telah lama bertapak  di Malaysia ini. 

Tegasnya, sebagai sebuah Badan Dakwah, YADIM akan menggunakan pendekatan memberi  kesedaran terhadap isu ini selain akan menggerakkan rakan-rakan NGO bagi  menyatakan penolakan terhadap arak yang telah dianggap sebagai najis di dalam  Islam selain dianggap sebagai sumber kemudaratan masyarakat secara umumnya.