PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) telah berjaya menempa nama dalam Malaysia Book of Records apabila mencatat kejayaan dalam menganjurkan program tazkirah 24 jam yang diiktiraf sebagai “ Longest Non Stop Live Broadcasting Islamic Talk”.
 
 
Program bermula 9 malam 18 Oktober hingga 10 malam 19 Oktober 2021 itu, diadakan bersempena sambutan Maulidur Rasul 1443H yang menjadi sebahagian daripada pengisian kepada program Bulan Dakwah 2.0 YADIM.
 
Bertitik tolak dengan hasrat melestarikan gerakan dakwah, program ini telah melibatkan seramai 24 penceramah dari dalam dan luar negara yang selama 24 jam tanpa henti dan secara lengkap membedah buku Sirah Nabawiyah terbitan YADIM yang diterjemah daripada kitab yang terkenal iaitu Al Raheeq Al Makhtum karangan Syeikh Saffiyu Al Rahman Al Mubarakfuri.
 
Kitab tersebut dipilih kerana ia merupakan salah satu daripada sumber rujukan kontemporari yang terbaik dalam mengkisahkan perjalanan hidup junjungan besar Nabi Muhammad SAW secara lengkap.
 
Dengan jumlah tontonan secara langsung yang melebihi 500 orang bagi setiap masa, program ini telah berjaya mengumpulkan sejumlah 44,893 orang peserta dan penonton yang mengikuti program ini secara fizikal dan maya di penghujung catatan masa.
 
Lebih membanggakan lagi ketika mengumumkan kejayaan mencatatkan rekod tersebut, Eksekutif Akaun, Malaysia Book Of Records, Mohamad Nazrul Hafizi Ahmad Fauzi turut mengumumkan bahawa YADIM sebenarnya telah berjaya mencatatkan rekod program selama 25 jam tanpa henti.
 
Ustaz Nasruddin Hassan selaku Yang Dipertua YADIM menegaskan inisiatif ini adalah diharapkan untuk mencetuskan gelombang dakwah di negara ini dan diharap dapat memberi inspirasi kepada banyak pihak yang sama sama mahu melestari gerakan dakwah di Malaysia.
 
YADIM merakamkan ucapan penghargaan kepada kesemua pihak yang telah terlibat khususnya kepada YAB Perdana Menteri yang menjadi penaung kepada Yayasan ini, YB Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Bank Islam selaku penaja bersama, Agensi-Agensi Kerajaan, Institusi Pendidikan, Pasukan Sukarelawan dan orang perseorangan yang telah terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan inisiatif tersebut.
 
YADIM akan terus mempergiat aktiviti kebajikan, pendidikan dan pembangunan sosial yang terangkum dalam konteks dakwah yang luas khususnya sepanjang pelaksanaan Bulan Dakwah 2.0 sehingga penghujung Disember 2021.
 
Program-program yang telah dirancang ini pastinya akan membantu merealisasikan agenda 'Keluarga Malaysia' yang dibawa oleh Kerajaan.