KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa pengoperasian institusi pendidikan mengikut ketetapan Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan berkuat kuasa mulai 1 November ini.

Ia melibatkan negeri Melaka dan Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Pengoperasian institusi pendidikan mengikut ketetapan Fasa Tiga PPN bagi Kedah dan Kelantan pula akan bermula pada 31 Oktober, manakala Pulau Pinang, Perak dan Sabah mulai 1 November.

KPM menerusi kenyataan memaklumkan, perubahan ketetapan pengoperasian itu adalah selaras peralihan Fasa 3 kepada Fasa Empat PPN bagi Kuala Lumpur dan Putrajaya, Selangor dan Melaka.

Manakala Fasa 2 kepada Fasa 3 PPN bagi Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah yang semuanya berkuat kuasa 18 Oktober.

"Negeri yang beralih ke Fasa 4 PPN akan membabitkan kemasukan murid Tahap 1 serta murid tingkatan tiga dan empat di sekolah menengah pada 1 November.

"Sementara kehadiran murid Tahap 2 serta kelas peralihan, tingkatan satu dan dua sekolah menengah pada 8 November iaitu seminggu selepas negeri berkenaan memulakan pengoperasian berdasarkan ketetapan Fasa 4 PPN," menurut kenyataan itu.

Negeri Fasa 3 PPN akan membabitkan kehadiran murid prasekolah, murid berkeperluan khas dan Program Pendidikan Khas Integrasi.

KPM sebelum ini memutuskan apabila negeri beralih ke fasa PPN yang seterusnya, semua institusi pendidikan di negeri itu hendaklah beroperasi mengikut ketetapan fasa baharu selepas dua minggu daripada tarikh peralihan fasa.