Putrajaya- Malaysia menunjukkan penurunan kes COVID-19, namun pematuhan terhadap SOP perlu terus diamalkan bagi mengelakkan peningkatan kes setelah pembukaan sektor pendidikan dan ekonomi.

Menerusi kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam, secara kasar, negara-negara di Asia Tenggara menunjukkan tren penurunan kes COVID-19 sejak kebelakangan ini.

Malaysia juga turut menunjukkan tren penurunan kes COVID-19 sejak Minggu Epidemiologi (ME) ke -34, namun Singapura dan Brunei menunjukkan tren peningkatan kes COVID-19.

Kedua-dua negara ini menunjukkan kadar kes bagi setiap 1 juta penduduk yang lebih tinggi berbanding Malaysia sebanyak 180.91 kes iaitu pada kadar 584.86 kes di Singapura dan 499.88 kes di Brunei.

Sehingga 25 Oktober 2021, kes positif COVID-19 yang direkodkan di seluruh dunia adalah sekitar 243 juta, dengan angka kematian sekitar 4.9 juta berdasarkan statistik terkini Universiti Johns Hopkins,” kata kenyataan itu.

KKM juga memaklumkan bahawa sehingga 23 oktober 2021, sejumlah 25,161,659 individu telah mendaftar bagi mendapatkan vaksinasi COVID-19.

Sebanyak 94.5 peratus daripada populasi dewasa telah menerima suntikan vaksin COVID-19 lengkap. Manakala, sebanyak 72.4 peratus daripada keseluruhan penduduk telah menerima suntikan vaksin COVID-19 lengkap.