PUTRAJAYA – Sebanyak 11 barangan disenaraikan bagi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2021 selama seminggu berkuat kuasa pada 1 November ini.

Pelaksanaan tersebut sebagai langkah menstabilkan harga barangan keperluan menjelang perayaan Deepavali yang akan disambut pada 4 November di seluruh negara.

Antaranya ayam hidup, ayam standard, dan ayam super selain daging kambing biri-biri import bertulang, telur ayam gred A, B dan C serta cili merah.

Barangan lain tomato, kelapa biji serta kelapa parut.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sepanjang tempoh itu pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan dan peniaga tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan terlalu lama.

“Kesemua 11 jenis barangan ini adalah barangan utama semasa sambutan Deepavali dan mendapat permintaan tinggi masyarakat yang menyambutnya.

“Harga maksimum pengeluar, borong dan runcit ditentukan untuk barangan tersebut bagi 91 daerah di Semenanjung Malaysia, 27 daerah di Sabah dan satu daerah di Labuan," katanya pada sidang akhbar di sini.

Katanya, bagi Sarawak hanya melibatkan empat daerah sahaja iaitu di Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu kerana kawasan tersebut mempunyai majoriti masyarakat India.

habis