KUALA LUMPUR - Perak berserta empat negeri lain iaitu Perlis, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa Isnin ini.

Perkara tersebut diumumkan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Hishammuddin, peralihan itu mengambil kira penilaian risiko semasa yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob hari ini bersetuju untuk peralihan Fasa PPN bagi negeri terbabit.

"Negeri terbabit iaitu Perlis, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah beralih kepada Fasa 4 berkuatkuasa 8 November ini," ujarnya dalam kenyataan tersebut.

Sebelum ini pada penghujung Oktober lalu, Perak dijangka dapat segera beralih pasa Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak lama lagi berdasarkan indikator semasa termasuk capaian imuninasi kelompok.

Ia susulan negeri itu mencapai tahap imuniti kelompok dengan 85 peratus individu melengkapkan dos kedua setakat hari ini manakala penggunaan fasiliti rawatan rendah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains dan Alam Sekitar negeri, Mohd. Akmal Kamaruddin berkata, bagaimana pun pematuhan dan disiplin kendiri hendaklah terus dipraktiskan.

Menurut beliau,ini penting bagi mencapai objektif nilai ambang untuk peralihan ke fasa yang berikutnya.