KUALA LUMPUR – Malaysia bakal memiliki vaksin Covid-19 keluaran tempatan di mana pembangunan ke arah itu sedang giat dijalankan ketika ini dengan kerjasama negara luar.

Pembangunan vaksin jenis messenger ribonucleic acid (mRNA) itu melalui rundingan dengan University of Pennsylvania, Amerika Syarikat dan University of Chulalongkorn, Thailand.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, rundingan tersebut kini berada dalam kajian klinikal fasa 2 dan 3.

Progres itu juga memberi penekanan melibatkan elemen pemindahan teknologi dan kepakaran menerusi penyediaan geran bertujuan menggalakkan penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I).

"Dalam memerangi dan membendung pandemik Covid-19, kita perlu progresif dan mengambil langkah ke hadapan.

“Setakat ini kira-kira RM15 juta diperuntukkan khusus untuk pembangunan R&D serta dana khas untuk Covid-19 juga diwujudkan iaitu MOSTI Combating Covid-19 Fund.

 

“Buat masa ini, kajian vaksin Covid-19 sedang dilaksanakan oleh beberapa institusi antaranya Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC) di bawah Universiti Malaya; Universiti Putra Malaysia; Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), KKM; dan Institut Penyelidikan Veterinar,” katanya di Dewan Rakyat.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Mohd Hatta. Ramli (PH- Lumut).

 

Mohd. Hatta meminta kerajaan menyatakan usaha kementerian untuk terus menggalakkan pemain tempatan terlibat dalam pengeluaran vaksin Covid-19 dan apakah insentif yang disediakan kepada pemain industri ini.