PUTRAJAYA – Orang ramai dinasihatkan agar tidak bimbang dengan bekalan makanan dan keperluan sepanjang musim perayaan kerana dijamin mencukupi.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemantauan berkala dilakukan oleh pelbagai agensi termasuk penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Menurutnya, semalam penguatkuasa KPDNHEP telah membuat pemantauan harian ke atas 25 jenis bekalan barangan di 973 premis perniagaan termasuk peruncit (766), pemborong (173) dan pengilang (34).

“Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) juga telah membuat pemantauan di peringkat pengeluar makanan dan memberi jaminan bekalan barangan keperluan mencukupi.

“Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi,” ujarnya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu beliau memaklumkan, pegawai penguatkuasa KPDNHEP juga telah melakukan 2,021 pemeriksaan khas Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Pemeriksaan mendapati 1,872 premis mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Sebanyak 146 premis telah diberi nasihat dan tiga premis lagi diberi amaran atas ketidakpatuhan SOP.

“Kerajaan ingin menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan penjarakan sosial dan kebersihan diri terutamanya dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian,” tegasnya.