KUALA LUMPUR - Lebih banyak industri dan sektor pekerjaan memanfaatkan penggunaan teknologi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sekali gus mengubah penggunaannya dalam lanskap ekonomi semasa.

Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, ia dilihat sebagai petanda positif bagi memastikan kemampanan perniagaan.

Beliau berkata, ini kerana mengikut kajian pihaknya, sektor perniagaan memerlukan tempoh enam bulan untuk pulih selepas krisis wabak  Covid-19.

“MPC telah mengambil beberapa langkah untuk mempercepat pemulihan ekonomi dan membantu pemain industri membina semula perniagaan.

“Antara inisiatif penting ialah program membina kapasiti dan keupayaan melalui webinar dan latihan dalam talian,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini.

Katanya lagi, usaha masih dijalankan untuk mempercepat dan menjadi pemangkin kepada pemulihan ekonomi dan pertumbuhan produktiviti berikutan aktiviti perniagaan mula meningkat semasa PKP Bersyarat (PKPB).