PUTRAJAYA – Orang ramai diingatkan agar sentiasa menjaga keselamatan diri berikutan peningkatan pada kadar kemasukan ke hospital melibatkan pesakit Covid-19.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkatanya, kebanyakan kes melibatkan warga emas atau golongan komorbid yang dijangkiti kontak rapat ahli keluarga yang membawa balik virus ke rumah.

"Pakai pelitup muka dan elak tempat yang sesak. Dapatkan booster (dos penggalak) bila diberi janji temu," katanya menerusi ciapan Twitter.

Pada satu lagi ciapannya, beliau meminta sesiapa yang mempunyai ibu bapa atau datuk dan nenek untuk memberi keyakinan kepada mereka mendapatkan dos penggalak apabila sudah menerima janji temu.

"Jika ibu bapa atau datuk nenek anda menerima janji temu dos penggalak vaksin Covid-19, tolong yakinkan mereka untuk mendapatkannya.

"Suntikan dos penggalak ini selamat dan memastikan mereka mendapat perlindungan lebih baik daripada Covid-19 serta risiko ahli keluarga yang membawa pulang virus ini," katanya.

Sementara itu, laman web CovidNow menunjukkan 68,790 kes aktif setakat semalam melibatkan 55,026 pesakit dikuarantin di rumah.

Manakala sebanyak 7,792 kes di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), kes di hospital (5,431) Unit Rawatan Rapi tanpa bantuan pernafasan (274) dan 267 kes di ICU dengan bantuan pernafasan.