PUTRAJAYA - Rangkaian restoran makanan segera, McDonald's Malaysia telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan yang berlangsung di McDonald's Putrajaya Presint 2, semalam.

Ia disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Haji Ahmad Marzuk Shaary bersama Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia, Amir Jaafar.

Penyerahan ini disampaikan kepada wakil urus zakat daripada 14 negeri.

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tuan Shahrul Azam Shaari dan Pengurus Besar Pemasaran, Ahmad Nazim Md Tajuri.

McDonald's Malaysia pada kali ini mengagihkan bayaran zakat perniagaan berjumlah RM2 juta kepada semua 14 negeri di Malaysia.

Ia merupakan jumlah terbesar semenjak McDonald's Malaysia mula membayar zakat perniagaan sejak lima tahun lalu.

Ini apabila syarikat itu mula diambil alih Lionhorn Pte. Ltd., sebuah anak syarikat Kumpulan Reza dari Arab Saudi.

Semoga bayaran zakat oleh McDonald's Malaysia ini memberi sejuta rahmat dan manfaat bagi masyarakat di negeri Perak.