PUTRAJAYA – Sebanyak RM1.5 bilion diperuntukkan kerajaan sebagai inisiatif pengambilan pekerjaan untuk menggalakkan syarikat mengambil pekerja dalam kalangan pengganggur dan golongan belia.

Ia diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tadi menerusi Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek Negara. 

Dana ini adalah sebahagian inisiatif utama kerajaan yang dijangka bakal memberi manfaat kepada 300,000 pencari kerja.

Menerusi inisiatif ini, sebanyak RM800 sebulan akan diberi kerajaan selama enam bulan kepada syarikat yang mengambil pekerja berusia 40 tahun ke bawah.  

Bagi golongan pekerja berusia 40 tahun ke atas pula, syarikat akan diberi inisiatif sebanyak RM1,000 sebulan sepanjang tempoh yang sama.